Usul undi percaya PAS hanya untuk pecahkan Pakatan, kata Anwar


SM Amin

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan strategi PAS untuk pecah belahkan Pakatan selepas gagal berbuat demikian pada PRU14.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

TINDAKAN PAS mencadangkan usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanya untuk memecahkan Pakatan Harapan, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, usul itu merupakan strategi terbaharu PAS selepas gagal berbuat demikian pada pilihan raya umum ke-14 dan beliau yakin usul tersebut akan gagal.

“PAS biasalah. Itu usul PAS, kita tidak anggap itu perkara yang serius. Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH).

“Dia (PAS) akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi (baru) dia. Kita tidak akan tertipu,” katanya kepada media ketika hadir di Majlis Sepetang bersama Alumni Yayasan Anda Akademik di Restoran D’Saji Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berpendapat tiada keperluan untuk Majlis Pakatan Harapan membincangkan perkara tersebut yang disifatkan tidak mempunyai sebarang asas.

Jelasnya, tindakan PAS menyokong kepimpinan perdana menteri agak canggung kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi.

“Saya tidak fikir ia wajar dibincang dalam Pakatan Harapan. Tiada asas. Tidak pernah berlaku dalam sejarah (pembangkang bawa usul sokong perdana menteri), tetapi inilah PAS.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan PAS akan membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

PAS kemudiannya membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional malam tadi untuk dimaklumkan kepada rakan sekutunya Umno.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan pendirian Umno berhubung perkara tersebut hanya akan dibuat bila tiba masanya usul tersebut dibentangkan. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen