PAS maklumkan usul sokong Dr Mahathir, Umno belum buat keputusan


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Tuan Ibrahim pada Sabtu lalu berkata, PAS akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir ketika persidangan Dewan Rakyat, bagi membolehkan beliau mentadbir sehingga habis penggal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Februari, 2020.

PAS sudah memaklumkan secara rasmi kepada Umno berkenaan hasrat parti Islam itu untuk mengemukakan usul sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pertemuan mereka semasa mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional malam tadi.

“Itu dibentang oleh PAS, oleh Tuan Ibrahim, kita pun nak tahu apa bendanya, dibentangkan dan Umno ambil maklum, kita akan bincang juga diperingkat parti, kita akan buat keputusan bila sampai masanya,” kata Mohamad, kepada pemberita di PWTC. 

Tambahnya, perkara itu akan dimaklumkan kepada pimpinan Umno sebelum parti berkenaan membuat sebarang keputusan.

“Tidak timbul pasal sokong tak sokong, kita ambil maklum, usul belum di bawa lagi, sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku,” kata Mohamad, lagi.

Beliau juga berkata, mesyuarat berkenaan tidak membincangkan soal kerjasama bersama Dr Mahathir atau pembentukan Pakatan Nasional.

“Pakatan Nasional itu apa? Tak tahu pula saya, tak pernah bincang pasal Pakatan Nasional, kita Muafakat Nasional,” kata Mohamad.

Tuan Ibrahim pada Sabtu lalu berkata, parti Islam itu akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir ketika persidangan Dewan Rakyat, bagi membolehkan beliau mentadbir sehingga habis penggal.

PAS akan mengemukakan usul itu katanya bagi mengakhiri kemelut dan isu berkaitan peralihan kuasa perdana menteri yang menurutnya mengganggu kestabilan politik dan ekonomi.

Isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim terus hangat diperkatakan walaupun beliau kerap mengulangi akan mengotakan janjinya.

Pada Disember tahun lalu, Dr Mahathir turut mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November.

Terbaru, minggu lalu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, namun keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata, jika seorang calon itu daripada parti yang memiliki majoriti tetapi tidak mendapat sokongan majoriti, maka calon itu tidak akan dapat menjadi perdana menteri.

PKR merupakan parti mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan sejumlah 47 ahli Parlimen diikuti DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11).

Manakala Warisan, parti mesra PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, memiliki sembilan ahli Parlimen. β€“ 10 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen