Polis panggil Tamrin kes tulisan kritik Istana Johor


Mohd Farhan Darwis

Tamrin Ghafar dipanggil polis kerana tulisannya mendakwa Pakatan Harapan Johor tunduk kepada istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2020.

BEKAS Ahli Parlimen Batu Berendam Tamrin Ghafar dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok berhubung satu tulisan mengkritik Istana Johor.

Anak kepada bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba itu berkata, beliau akan memberikan keterangan pagi esok berhubung tulisan yang disiarkannya di blog tamringhafar.blogspot.com.

“Ya, esok saya akan memberikan keterangan kepada pihak polis di Bukit Aman, berhubung artikel itu, dan saya akan ditemani peguam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rencana yang disiarkan pada 2 Februari lalu mengkritik secara terbuka Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Raja Tunku Ismail Ibrahim.

Dalam tulisan bertajuk “TMJ-Bodoh sombong yang tidak boleh diajar” itu, Tamrin turut mengkritik pentadbiran PH Johor yang didakwanya tunduk kepada istana.

Dakwanya, tindakan itu akan menyebabkan kerajaan PH akan ditolak oleh rakyat.

“Jika sekiranya Muhyiddin Yassin dan wakil-wakil rakyat PH tidak berubah, maka tunggulah masanya rakyat akan merubah mereka,” katanya, merujuk kepada presiden Bersatu.

Di akhir tulisannya, Tamrin turut menyatakan beliau sedia berhadapan tindakan undang-undang daripada rencana itu.

“Saya bertanggungjawab di atas tulisan ini dan bersedia di ambil tindakan undang-undang,” katanya. – 9 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen