Tony Pua beritahu SPRM jangan tutup sebelah mata kes 1MDB


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata SPRM 'pengecut' kerana menutup sebelah mata dan membiarkan agensi lain menyiasat skandal itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) sepatutnya menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan membiarkan ia dilakukan agensi penguatkuasaan lain, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Ketua publisiti DAP itu juga berkata SPRM ‘pengecut’ kerana menutup sebelah mata dan membiarkan agensi lain menyiasat skandal itu.

“‘Suruhajaya bebas’ jenis apa yang membiarkan siasatan, terutamanya skandal berskala sedemikian kepada agensi lain?

“Mengapa SPRM dan Dzulkifli Ahmad takut sangat nak menyiasat skandal rasuah terbesar negara yang dilakukan secara terang-terangan?” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata SPRM tidak menyiasat 1MDB kerana pihak berkuasa lain sudah melakukannya.

Dalam jawapan bertulisnya bertarikh 1 November bagi menjawab pertanyaan Pua, beliau berkata pihak berkuasa lain seperti Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatan terhadap 1MDB.

Pua berkata SPRM mempunyai kuasa, undang-undang dan bidang kuasa yang berbeza dengan polis untuk menangani kes rasuah.

“Itu tujuan utama Parlimen meluluskan Akta SPRM, bagi mewujudkan sebuah suruhanjaya yang berdedikasi dan bebas dalam menangani rasuah dan tidak meletakkan beban itu kepada pihak polis,” katanya. 

Tambahnya, beberapa laporan sudah dibuat kepada SPRM berhubung skandal 1MDB, termasuk laporan yang dibuat oleh bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan. 

“Selagi SPRM tidak mengambil tindakan dengan laporan terhadap 1MDB, amaran yang diberikan oleh pesuruhjayanya akan kekal di mata rakyat Malaysia sebagai retorik yang tidak berasas,” katanya. – 7 November, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen