Ada petisyen cadang undi tidak percaya terhadap Anwar


Diyana Ibrahim Nabihah Hamid

Anwar dalam satu wawancara dengan Reuters berkata beliau sedia menunggu sehingga November untuk mengambil alih kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020

SATU petisyen dalam talian mencadangkan undi tidak percaya terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim muncul di media sosial minggu ini.

Petisyen sejak Rabu lalu dimulakan oleh seseorang menggunakan nama “Aisyah Ismail”, dan disebarkan melalui akaun Facebook “Pejabat Timbalan Setia”, yang diketahui selama ini digunakan untuk kempen anti Anwar.

Pemimpin PKR yang dekat Anwar bagaimanapun menegaskan kedudukan Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai presiden parti hanya ditentukan oleh parti, dan bukan mana-mana petisyen dalam talian.

“Ini negara demokrasi. Siapa pun boleh buat petisyen asalkan bersandarkan undang-undang dan perlembagaan parti. 

“Dia nak buat (petisyen) tiada masalah. Akhirnya yang akan menentukan kedudukan presiden bukan petisyen tetapi kongres PKR,” kata Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul kepada The Malaysian Insight.

Petisyen yang ditujukan kepada ahli PKR dan rakyat Malaysia itu menggariskan 20 alasan kenapa Anwar tidak layak untuk terus memimpin PKR dan seterusnya tidak sepatutnya dibenarkan menjadi pengganti perdana menteri.

“Kami berharap dengan ini kita dapat menyakinkan kepada rakyat dan perdana menteri sendiri agar Anwar tidak dilantik sebagai perdana menteri dan agar ahli PKR bersetuju gantikan Anwar kepada ahli atau pemimpin lain dalam parti sebagai presiden,” kata petisyen itu.

Ini negara demokrasi. Siapa pun boleh buat petisyen asalkan bersandarkan undang-undang dan perlembagaan parti, kata Johari Abdul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

Petisyen ini muncul ketika PKR terus terbelit dengan krisis dalaman antara kem Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali, yang berlarutan sekurang-kurangnya sejak pemilihan parti setahun yang lalu.

Kelmarin, Zuraida Kamaruddin, yang juga mendukung Azmin, mengesahkan beliau bercuti daripada jawatan naib presiden parti sementara menunggu hasil siasatan dalaman parti dijalankan terhadapnya.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan disiasat berhubung ucapannya yang didakwa memperlekehkan kepimpinan Anwar.

Pada 22 Januari lalu, 46 pimpinan kanan PKR termasuk ahli Parlimen dan wakil rakyat negeri mengeluarkan kenyataan bersama mendesak agar siasatan terhadap Zuraida digugurkan.

Dalam pada itu, seorang pemimpin cabang berkata kemunculan petisyen ini memberikan gambaran suara akar umbi terhadap Anwar, walaupun petisyen itu sendiri tiada kesan sah dari segi perlembagaan parti.

“Ramai (ahli) yang marah pada Anwar dan ini sampai tahap boleh pecah belahkan PKR

“Anwar tidak ada akar umbi, sebab itu beliau banyak lantik penyokong beliau untuk jawatan kanan pimpinan,” katanya, yang enggan identitinya didedahkan.

Pemimpin cabang itu juga membayangkan krisis dalaman parti ini akan berlarutan sehingga pemilihan PKR yang akan datang pada tahun depan.

Sementara itu, kumpulan pendukung Anwar, Otai Reformasi menepis petisyen dalam talian itu sebagai gimik kumpulan anti Anwar untuk mengalih perhatian umum kepada isu peralihan kuasa.

Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail menyifatkan petisyen itu didalangi oleh “budak hingusan yang baru bertatih dalam politik”.

Petisyen ini muncul ketika PKR terus terbelit dengan krisis dalaman antara kem Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali, yang berlarutan sekurang-kurangnya sejak pemilihan parti setahun yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020

Katanya, kempen itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada Anwar kerana ia bukan usul yang dibuat mengikut perlembagaan parti.

“Ini bukan proses memilih penyanyi terbaik yang orang ramai boleh mengundi secara online. 

“Petisyen undi tak percaya terhadap presiden ini tidak berlandaskan kepada perlembagaan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berpendapat tindakan kumpulan anti Anwar ini tidak membantu proses dan agenda kerajaan berkhidmat kepada rakyat.

“Pejabat Timbalan Setia ini ada pengikut berapa orang pun kita tak tahu. 

“Sekarang ini patut lebih tumpu bina negara apatah lagi dalam peralihan kuasa yang makin dekat ini,” katanya.

Anwar dalam satu wawancara dengan agensi berita Reuters minggu ini berkata beliau sedia menunggu sehingga November untuk mengambil alih kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau akan jadi perdana menteri sehingga sekurang-kurangnya selepas November iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (Apec).

Sebelum pilihan raya umum ke-14, Pakatan Harapan menetapkan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir namun tidak meletakkan tempoh peralihan kuasa itu, yang dilaporkan selepas dua tahun.

Beberapa pihak, antaranya timbalan Anwar sendiri dalam PKR, Mohamed Azmin Ali dan PAS sebelum ini menggesa Dr Mahathir kekal perdana menteri sehingga habis mandat PRU14. – 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen