Boleh tunggu hingga November untuk jadi PM, kata Anwar


Anwar Ibrahim memberitahu Reuters dalam satu wawancara bahawa beliau sedia menunggu enam bulan lagi melebihi tempoh akhir yang dipersetujui pada Mei 2020 untuk menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2020.

ANWAR Ibrahim sedia menunggu sehingga November untuk mengambil alih kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad, lapor Reuters.

Susulan spekulasi gabungan politik baharu melibatkan Umno, PAS dan Bersatu untuk mengekalkan Dr Mahathir, Anwar memberitahu Reuters dalam satu wawancara bahawa beliau sedia menunggu enam bulan lagi melebihi tempoh akhir yang dipersetujui pada Mei 2020 untuk menjadi perdana menteri.

Presiden PKR itu juga berkata beliau sudah memiliki sokongan yang cukup di Parlimen untuk mengambil alih tugas Dr Mahathir.

“Anda sudah tunggu 20 tahun. Lanjut lagi enam bulan bukan satu hal,” kata Anwar seperti dilaporkan Reuters.

“Jika ada permintaan untuk merujuk kepada Parlimen, sudah tentu ia boleh dilakukan. Tetapi Pakatan Harapan mempunyai majoriti pada masa kini.

“Mereka yang bukan dalam Pakatan Harapan juga ada yang menyokong perdana menteri yang dipilih.

“Saya juga diberi jaminan sama. Mereka menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan mereka akan terus menyokong saya apabila mengambil alih jawatan itu,” katanya.

Dr Mahathir dan Anwar berulang kali menegaskan yang peralihan kuasa akan berlaku seperti dijanjikan, walaupun masih tiada tarikh rasmi dikeluarkan mengenainya.

Dr Mahathir, 94, berulang kali berkata yang beliau akan berundur sebelum berakhirnya penggal pentadbiran pada 2023 untuk memberi laluan kepada Anwar, 72, mentadbir negara.

Disember lalu, Dr Mahathir berkata beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini, kerana peralihan kuasa sebelum itu boleh menganggu perjalanan pertemuan penting itu.

Dalam wawancara itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson meluahkan kesediaan menyediakan ruang kepada Dr Mahathir untuk terus berbakti selepas berundur.

“Kehadirannya sebenarnya boleh menaikkan keyakinan rakyat dan memberikan gambaran kestabilan dan aturan.

“Tidak akan ada perbezaan dasar yang drastik. (Tetapi) Pastinya akan ada penekanan berbeza, tetapi secara peribadinya, saya akan mengalu-alukan kehadiran dan sumbangannya dalam apa sahaja cara,” kata Anwar.

Anwar menambah, yang beliau juga akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan dengan India selepas kritikan Dr Mahathir kepada dasar negara itu mencetuskan perselisihan dua negara.

Ia juga menyebabkan sekatan ke atas perdagangan minyak sawit antara Malaysia dan India. – 6 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen