Orang Asli Ulu Geruntum tagih janji Pakatan henti projek mini hidro


Noel Achariam

Suku kaum Semai menaruh harapan kerajaan PH Perak mampu menghentikan projek hidro seperti yang dijanjikan pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

ORANG Asli Ulu Geruntum di Gopeng, Perak yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan harapan mereka projek mini hidro elektrok di kawasan mereka dihentikan seolah-olah semakin pudar.

Mereka merasakan tiada perbezaan antara kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN) selepas PH gagal menghentikan projek itu yang melibatkan pembinaan 31 projek empangan mini hidro di kawasan sungai yang turut menjejaskan kawasan tempat tinggal mereka.

Mereka mengemukakan saman untuk menghentikan projek itu sebelum PRU14 ketika BN masih berkuasa di Perak tetapi kini mereka mendapati kerajaan negeri di bawah PH juga gagal mendengar suara mereka.

Namun mereka masih mengharapkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar campur tangan dalam isu tersebut.

Timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak Ulu Geruntum Pak Busu Bamin, 52, berkata mereka tidak mahu melihat tanah warisan nenek moyang mereka dimusnahkan.

“Kerajaan Perak dan BN sudah mengecewakan kita. Kita meminta kedua-dua kerajaan untuk membantu, tetapi sehingga kini tiada apa yang dilakukan.

“Sebelum ini kami meminta Umno (untuk membantu) sebelum projek itu dimeterai, tetapi tiada apa juga yang dilakukan.

“Kami berharap kerajaan persekutuan boleh membantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Papan tanda projek yang dimusnahkan oleh sekumpulan Orang Asli di Ulu Geruntum sebagai tanpa protes terhadap pembinaan empangan hidroelektrik mini di kampung itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2018.

Orang Asli Ulu Geruntum dari suku Semai, sudah membantah projek itu sejak 2012 apabila pada awalnya pembinaan 25 projek empangan mini hidro diumumkan.

Enam lagi projek sama diumumkan setahun kemudian menjadikan keseluruhan 31 projek dengan nilai RM2.92 bilion.

Penduduk Orang Asli menunduh syarikat konsesi Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC), memusnahkan tanaman mereka untuk membina jalan dan menceroboh tanah mereka.

Saman mereka terhadap projek itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Ipoh bulan depan.
 
Suku kaum Semai itu berkata mereka menaruh harapan kerajaan PH Perak mampu menghentikan projek itu seperti yang dijanjikan pada PRU14.

Namun kerajaan PH Perak mendakwa mereka terikat dengan kontrak projek itu untuk meneruskan operasi empangan tersebut.

Pak Busu berkata suku Semai bukan antikerajaan tetapi mahu PH menunaikan janji pilihan raya mereka untuk menjaga kebajikan Orang Asli dan mengiktiraf tanah nenek moyang mereka.

Seorang lagi penduduk kampung, Bahsinggong, 76, berkata beliau berharap bantahan mereka terhadap projek itu akan didengar oleh Dr Mahathir.

“Jika Tun (Dr Mahathir) tahu, mungkin beliau akan bantu kami. Saya percaya beliau menjaga rakyat.

“Di bawah BN, mereka membina jalan dan rumah di kawasan kami. Mereka juga memberi kami Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kami masih mengharap PH untuk turun padang. Kami juga berharap mereka akan datang ke sini.”

Orang Asli Suku Semai di Ulu Geruntum mahu projek mini hidro dihentikan kerana tidak mahu melihat tanah warisan nenek moyang mereka dimusnahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2020.

Bhbel Hut, 59 berkata beliau masih berharap PH akan menangani nasib mereka.

“Kami perlu menaruh harapan kerana tempat ini adalah satu-satunya sumber pendapatan dan makanan kami.

“Jika dimusnahkan, ke mana kami akan memancing dan berkebun?”

Marisa Abdullah, 32, yang bekerja sebagai penjaga di sekolah Orang Asli berdekatan, berkata PH sepatutnya ingat janji pilihan rayanya kepada pengundi Perak, terutama Orang Asli.

Seorang wanita Orang Asli warga tua, Wahnoon Bahron, 60, menyalahkan PH dan BN.

Beliau masih mengingati semasa kubur nenek moyang mereka musnah akibat projek pembinaan jalan raya, dan menganggapnya sebagai bukti pengabaian dan tidak menghormati Orang Asli.

“Mereka tidak hormat budaya atau adat kami. Bagaimana mereka boleh memusnahkan kubur kami?

“Mereka berjanji menghentikan projek hydro, tetapi tiada siapa yang datang (untuk memberitahu kami).

“Mengapa mereka layan kami seperti pendatang tanpa izin? Kami kesal tempat ini diceroboh.” – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen