Hentikan amalan makan haiwan eksotik, kata pengamal perubatan Cina 


Angie Tan

PENGAMAL perubatan tradisonal Cina menolak dakwaan bahawa daging haiwan eksotik mampu menyembuhkan penyakit kerana setakat ini tiada bukti bahawa ia memberi tenaga atau mempunyai nilai perubatan.

Tiada kajian santifik yang menyokong dakwaan bahawa daging haiwan liar mempunyai khasiat, tetapi sebaliknya membawa mudarat, kata Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia (FCPAAM) Dr Ng Po Kok.

“Wabak novel koronavirus (2019-nCov) menunjukkan bahawa virus dan bakteria berkembang. Bahaya jika makan daging haiwan liar untuk tujuan perubatan, kerana kita tidak tahu apa kesannya,” kata Dr Ng kepada The Malaysian Insight.

Sebuah pasar di Wuhan, China yang menjual antara lainnya kelawar, ular, musang, dan burung kuang, dikaitkan dengan wabak koronavirus. Sesetengah orang Cina percaya musang, otak monyet dan tapak kaki beruang mempunyai khasiat tertentu.

“Haiwan liar tinggal dalam hutan, dan kita tak tahu apa jenis virus dan bakteria yang membiak di situ. Adakah mereka semak dulu sebelum makan? Atau makan secara membuta tuli?” katanya.

Beliau mengakui pengambilan daging eksotik sekian lama berakar umbi dalam budaya orang Cina, berdasarkan dakwaan perubatan yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Sebuah pasar di Wuhan, China yang menjual antara lainnya kelawar, ular, musang, dan burung kuang, dikaitkan dengan wabak koronavirus. – Gambar AFP, 6 Februari, 2020.

Seorang lagi pengamal perubatan Cina, Lee Kae Liang berkata kepercayaan purba Cina mengenai khasiat daging eksotik hanya terhad kepada haiwan tertentu dan digunakan secara berhati-hati.

Menurut Lee buku mengenai perubatan herba pada abad ke-15, “The Compendium of Materia Medica” ada merekodkan kematian akibat pengambilan daging kelawar.

“Tabib terkemuka semasa Dinasti Ming, Li Shizhen juga memberi amaran beberapa haiwan hanya boleh diambil sebagai ubat.”

Berbeza dengan orang sekarang katanya, haiwan liar dimakan tanpa batasan sehingga mendatangkan mudarat.

Menurut Ng, penduduk China dahulu memakan haiwan eksotik tertentu atas faktor cuaca. Daging haiwan liar dianggap “panas” dan dimakan pada musim sejuk untuk menghangatkan badan.

Bagaimanapun, pengambilan secara berlebihan menyebabkan sakit tekak, hidung berdarah, sakit kepala dan demam, katanya.

Tambah beliau, untuk mendapatkan badan yang sihat seseorang hanya perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui pengambilan makanan seimbang, tidur yang mencukupi dan menjaga kebersihan. – 6 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen