SPRM tidak siasat 1MDB kerana agensi lain sudah lakukannya


Melati A. Jalil

SPRM bagaimanapun menjalankan siasatan terhadap dana RM2.6 bilion yang dipanggil Perdana Menteri Najib Razak sebagai "derma" dari Arab Saudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ada pihak berkuasa lain yang sudah menjalankan siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini. 

Pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah menjalankan siasatan ke atas syarikat pelaburan negara itu, katanya dalam jawapan bertulis bertarikh 1 November sebagai jawapan kepada soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. 

Pua bertanya kepada menteri berhubung kenyataan SPRM pada Jun yang mana Ketua Pesuruhjayanya Dzulkifli Ahmad berkata badan pencegah rasuah itu mahu mengelakkan “pertindihan” dengan siasatan polis. 

“SPRM tidak menyiasat kes 1MDB kerana siasatan sudah dijalankan oleh pihak berkuasa lain, iaitu Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” kata Low. 

Walaupun SPRM tidak menyiasat 1MDB, suruhanjaya itu bagaimanapun menjalankan siasatan terhadap dana RM2.6 bilion yang dipanggil Perdana Menteri Najib Razak sebagai “derma” dari Arab Saudi.

SPRM turut menjalankan siasatan terhadap SRC International, salah sebuah syarikat yang menerima dana daripada wang yang didakwa daripada 1MDB sebelum masuk ke akaun peribadi Najib.

Bank Negara telah mengenakan denda kepada 1MDB kerana gagal mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan pada April 2016, manakala PAC, badan bi-partisan di bawah Parlimen, mengadakan siasatannya sendiri ke atas dana yang ditemui Najib dan membentangkan laporan mengenai penemuannya kepada Dewan Rakyat.

PAC mengesyorkan siasatan lanjut dijalankan terhadap bekas CEO Shahrol Halmi dan turut menonjolkan kekemahan 1MDB seperti model perniagaan yang bergantung kepada hutang, kegagalan memberikan maklumat tepat kepada juruaudit dan kurangnya ketekunan wajar dalam keputusan pelaburan.

Polis menjalankan siasatan ke atas 1MDB di bawah Sesyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 420 kanun yang sama kerana menipu.

Pada Ogos 2017, Bank Negara berkata pihaknya menutup siasatan ke atas 1MDB, yang turut disiasat oleh beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat yang menjalankan siasatan jenayah.

Peguam Negara Apandi Ali pada 31 Oktober mengumumkan beliau telah mengarahkan polis untuk membuka semula siasatan 1MDB kerana kekurangan bukti. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen