JUMLAH kes Influenza A, yang menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia sebelum penularan wabak novel koronavirus (nCov2019) menyaksikan penurunan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
“Kita merekodkan 118 kes Influenza A hanya dalam dua minggu pertama tahun 2020, namun sejak seminggu lalu, hanya satu kes direkodkan,” kata Dr Lee kepada The Malaysian Insight.
Rundingan di klinik pesakit luar kami untuk kes penyakit seperti influenza hanya 1.85% daripada jumlah pesakit luar yang mana ia jauh lebih rendah daripada tahap 5% yang ditetapkan sebagai tanda amaran wabak, tambahnya.
Beliau berkata jumlah kes pesakit luar untuk demam dan influenza juga menurun.
Walaupun influenza berlaku sepanjang tahun, kebiasaannya terdapat peningkatan antara Julai dan September atau pada penghujung tahun.
Sama seperti Disember lalu yang mana permintaan untuk vaksin meningkat.
The Malaysian Insight pada 19 Januari lalu melaporkan, hospital swasta berdepan masalah untuk memenuhi permintaan vaksin Influenza A berikutan lebih ramai mendapatkan imunisasi ketika penularan wabak itu.
Ini memaksa beberapa pusat kesihatan swasta mendapatkan bekalan daripada luar negara kerana kekurangan stok.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada bulan lalu berkata, kira-kira 100,000 dos vaksin akan tiba pada Januari dan 100,000 dos lagi akan tiba bulan ini.
Lee berkata, bekalan masih diperlukan sepanjang tahun melainkan jenis virus influenza yang menyebabkan wabak itu sendiri berubah.
Lee turut mengakui bahawa kebimbangan telah beralih ke penularan wabak novel coronavirus yang meragut 361 nyawa dan menjangkiti kira-kira 17,000 orang.
“Ya, masyarakat lebih bimbang dengan nCoV19. Saya percaya masyarakat telah mengambil langkah pencegahan terutamanya dengan kerap mencuci tangan atau menggunakan pembasmi kuman,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr N Ganabaskaran berkata masih terdapat kes Influenza di klinik pengamal am (GP).
Tambahnya, permintaan vaksin masih ada terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Kita masih menerima banyak laporan daripada GP yang mendakwa hospital swasta masih diberi keutamaan erbanding klinik GP untuk bekalan vaksin.
“Kami berharap ini tidak berlaku kerana kami telah bangkitkan isu ini dalam media baru-baru ini. Kami merayu agar lebih telus berhubung isu ini.
“Pembekal utama kini mempunyai banyak pesanan untuk dipenuhi kerana permintaan yang tinggi. Diharapkan penyerahan stok ini dapat dipercepatkan,” kata Ganabaskaran kepada The Malaysian Insight.
Vaksin influenza hanya disediakan kepada petugas kesihatan di lapangan dan mereka yang mempunyai penyakit kronik di pusat kesihatan kerajaan. Orang awam boleh mendaoatkan suntikan vaksin di pusat perubatan swasta.
Ganabaskaran berkata, GP perlu diberi keutamaan untuk bekalan vaksin kerana klinik ini menawarkan akses lebih cepat dan mudah kepada orang awam.
“Bayaran untuk vaksin juga lebih berpatutan berbanding hospital swasta,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa terdapat lebih banyak kebimbangan mengenai koronavirus kerana perkembangan wabak berkenaan dilaporkan setiap hari oleh media dan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai darurat kesihatan global.
Tiada penambahan bagi kes positif koronavirus di Malaysia sejak Jumaat lalu.
Jumlah kes berkenaan di Malaysia masih kekal lapan manakala jumlah kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) kekal pada 192.
105 daripadanya adalah warga Malaysia manakala 82 daripadanya adalah warganegara China yang datang dari Australia, Korea Selatan, Jordan, Brazil dan Thailand.
Kerajaan kini berusaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China yang merupakan pusat penularan wabak berkenaan. – 4 Februari, 2020.
Komen