Bekalan vaksin influenza hospital swasta semakin kurang


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Syarikat farmasi mengambil masa lebih enam bulan untuk menghasilkan vaksin. – Gambar EPA, 18 Januari, 2020.

KALANGAN hospital swasta mengalami masalah kekurangan stok vaksin Influenza A ketika ramai orang mencari penawar wabak itu yang kini melanda seluruh negara, kata pengamal perubatan.

Walaupun ini menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksin, situasi itu memberi cabaran kepada pihak hospital sehingga terpaksa mendapatkan stok dari luar negara bagi memenuhi permintaan.

Pengarah Pusat Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin berkata kepada The Malaysian Insight, permintaan terhadap vaksin flu itu amat tinggi berbanding situasi biasa.

“Bekalan vaksin berkurangan disebabkan peningkatan jumlah kes selain tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan umum tentang influenza itu.

“Namun Kementerian Kesihatan sedar tentang situasi ini dan bertindak untuk mengatasi masalah kekurangan stok vaksin,” katanya Dr Helmi yang juga merupakan Perunding Perubatan Pernafasan dan Organ Dalaman.

Kes influenza dan jangkitan pernafasan menunjukkan peningkatan di Malaysia sejak Disember lalu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat peningkatan jumlah kes susulan penyebaran wabak yang berlaku ketika ini.

Namun katanya jumlah itu masih dalam tahap yang tidak membimbangkan bagi Malaysia dan sama seperti tahun sebelumnya.

“Terdapat jumlah pesakit yang ramai di pusat perubatan kita,” kata Dr Helmy.

Permintaan tinggi untuk mendapatkan vaksin di hospital swasta disebabkan dasar kementerian yang membenarkan pemberian vaksi itu kepada pesakit berisiko tinggi di pusat kesihatan awam.

Selain itu keutamaan juga diberikan kepada petugas kesihatan awam yang berisiko dijangkiti ketika merawat pesakit.

Dr Dzulkefly Ahmad berkata kira-kira 200,000 dos vaksin influenza akan dibawa masuk dalam masa dua bulan ini bagi memenuhi permintaan yang mendadak bagi vaksin itu pada masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020.

Hospital Thomson Kota Damansara berkata pihaknya kini kehabisan stok vaksin itu.

“Vaksin influenza kini kehabisan stok. Kita dalam proses mengisi semula stok.

“Setakat ini, kita mendapat kelulusan untuk mengimport vaksin dan menjangkakan mampu memberi vaksin influenza semula pada hujung Januari,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Perubahan Ara Damansara (ADMC) berkata permintaan terhadap vaksin itu lebih tinggi pada tahun ini berbanding tahun lepas.

“Hal ini disebabkan peningkatan jumlah kes influenza sejak November lalu.

“Di Jabatan Kecemasan ADMC , jumlah pesakit meningkat dua kali ganda. Ada juga yang datang kes sini untuk mendapatkan vaksin influenza.

“Saya fikir kesedaran orang ramai terhadap influenza semakin meningkat disebabkan laporan media tentang wabak ini,” katanya.

“Vvaksin ditempah berdasarkan permintaan sebelum ini. Maka berlaku kekurangan bekalan disebabkan permintaan tinggi secara mendadak.

“Namun Kementerian Kesihatan sudah mengumumkan bahawa kita akan menerima bekalan vaksin itu,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kira-kira 200,000 dos vaksin influenza akan dibawa masuk dalam masa dua bulan ini bagi memenuhi permintaan yang mendadak bagi vaksin itu pada masa ini.

Katanya 16,800 dos sudah tiba di negara ini hari ini, manakala selebihnya akan tiba secara berperingkat.

“Sebanyak 15,000 dos akan tiba pada 20 Jan dan 67,000 dos pada 27 Jan, menjadikan jumlah sekitar 100,000 dos vaksin akan tiba bulan ini,” katanya.

Sementara itu Dr Hilwani berkata vaksin dihasilkan secara berperingkat dan mengambil masa berbulan-bulan untuk siap.

“Jadi jika kita kehabisan vaksin di seluruh dunia, tiada apa yang boleh kita lakukan,” katanya.

Katanya adalah normal peningkatkan jumlah kes influenza antara bulan November dan Februari.

Dr Lee Boon Chye meminta orang ramai agak tidak panik kerana kadar kematian akibat influenza adalah lapan kematian setiap 100,000 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata influenza berlaku sepanjang tahun tetapi adakalanya memuncak antara bulan Jun dan Julai atau hujung tahun.  

Katanya virus influenza mudah berubah (mutation) dan vaksin diambil selepas setahun mungkin tidak lagi effektif lagi kerana virus itu sudah berubah.

“Vaksin yang dibuat perlu bertepatan dengan jenis virus semasa and cadangan biasanya diberikan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) mengikut jenis virus semasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata syarikat farmasi mengambil masa lebih enam bulan untuk menghasilkan vaksin dan ia menyebabkan masalah bekalan apabila penularan wabak dan kekurangan stok vaksin berlaku pada masa sama.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan memantau wabak dan belum lagi memantau kes melibatkan individu,” katanya mengulas tindakan daripada pihak kementerian.

“Jika diperlukan, kita akan mula memantau setiap kes termasuk kes selsema bias.”

Beliau meminta orang ramai agak tidak panik kerana kadar kematian akibat influenza adalah lapan kematian setiap 100,000 orang.

Bagi kumpulan berisiko, kadar kematian adalah 15 bagi populasi 100,000 orang.

Katanya jumlah ini adalah lebih rendah berbanding kematian akibat kemalangan jalan raya iaitu 26 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Beberapa hari lalu, dua bayi di Johor dilaporkan positif Influenza A, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan umum tentang penularan wabak itu.

Kementerian Kesihatan memberi jaminan peningkatan kes influenza di Malaysia tiada kaitan dengan virus misteri yang melanda China, dikenali sebagai flu Wuhan. – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen