Syed Saddiq bertegas samseng Umno kacau majlis


SM Amin

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertegas samseng Umno bertanggungjawab mencetuskan kekecohan di majlisnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Februari, 2020.

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata tuduhannya bahawa pihak yang mencetuskan kekecohan di majlisnya pada Sabtu lepas ada kaitan dengan Umno adalah berdasarkan maklumat diberikan polis.

“Seperti yang saya nyatakan, saya berpandukan apa yang telah dimaklumkan kepada saya oleh pihak polis sendiri,” katanya dalam sidang media di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan penglibatan Umno dalam kekecohan itu dan membuat laporan polis. Beliau mahu polis menyiasat Syed Saddiq kerana fitnah dan menyebarkan maklumat tidak sahih di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Syed Saddiq yang menteri belia dan sukan bagaimanapun mengalu-alukan laporan polis itu tetapi menegaskan kenyataannya di Facebook dibuat berdasarkan maklumat polis.

“Saya mengalu-alukan laporan polis mereka. Saya dimaklumkan bahawa mereka akan menyaman saya dan saya mengalu-alukan juga,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau juga berpuas hati dengan tindakan polis dan berharap siasatan terhadap kejadian itu diselesaikan.

Katanya, kelakuan samseng seperti itu perlu dihentikan dan tidak boleh diterima dalam politik Malaysia.

“Benarkan polis siapkan siasatan dan saya sangat gembira dengar tindakan sudah diambil ke atas tiga orang dan saya harap ia tidak berhenti setakat itu.

“Saya mahukan keadilan bagi memastikan ia menjadi tanda jelas bahawa gangsterisme tidak akan diterima dalam politik Malaysia, tidak kira siapa pelakunya,” katanya kepada wartawan, hari ini.

Sabtu lalu, Syed Saddiq terpaksa beredar daripada sebuah majlis selepas diganggu sekumpulan orang.

Katanya, hampir 200 orang menganggu majlis dihadiri ahli Pemuda dan Wanita Bersatu, bahagian Bersatu dan keluarga mereka yang diadakan di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor Bharu.

“Gangster dan tidak hormat orang. Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” tulis menteri belia dan sukan itu di Facebook pagi ini.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu,” katanya.

Mengulas mengenai tindakannya lari “panjat pagar”, Syed Saddiq berkata perkara itu terpaksa beliau lakukan selepas beliau menghubungi ketua polis negara (KPN) dan mendapat nasihat daripada pihak polis dan penganjur.

“Mereka yang buat kacau itu mahu berjumpa dengan saya dan mendesak saya rakam video memohon maaf kepada TMJ (Tengku Mahkota Johor). Saya beritahu pegawai saya, saya tidak buat salah apa-apa.

“Bila mereka mendesak, saya dapat nasihat daripada polis dan penganjur. Saya juga hubungi KPN bila keadaan sudah jadi tidak terkawal.

“Jika berhadapan terus dengan kumpulan tersebut, keadaan akan menjadi lebih teruk. Sebab itu kita keluar ikut jalan lain. Bukan saya sahaja tetapi Rafiq dan Mazlan juga,” katanya. – 2 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen