Majlis makan malam Bersatu dihadiri Syed Saddiq 'diserang'


Sekumpulan 200 individu menyerbu ke majlis dihadiri Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan mendesak beliau meminta maaf kepada TMJ serta meninggalkan negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman dan kedua ibu bapanya terpaksa meninggalkan perhimpunan Pemuda Bersatu selepas satu kumpulan besar mengelilingi meja dan menyerang mereka.

Ketua Pemuda itu berkata kira-kira 200 orang menyerbu acara yang berlangsung di restoran Ulu Tiram malam tadi, bersama-sama dengan anggota daripada Pemuda, Wanita dan sayap bahagian serta keluarga mereka.

 “Gangster dan tidak hormat orang. Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” tulis menteri belia dan sukan itu di Facebook pagi ini.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu,” katanya.

Walaupun tidak mengatakan siapa TMJ dimaksudkan, TMJ adalah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Syed Saddiq pernah berselisih faham dengan TMJ pada masa lalu.

Ketua Pemuda dan Ahli Exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang menghadiri acara itu berjaya menyelamatkan diri.

Mereka terpaksa memanjat pagar untuk melarikan diri dari kumpulan yang menuntut Ahli Parlimen Muar meninggalkan negeri itu. – 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen