Kementah sedia hantar pesawat bawa pulang warga Malaysia di China


Zaim Ibrahim

Kementerian Pertahanan sedia menghantar pesawat Hercelus C-130 ke China untuk membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di sana, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2020.

KEMENTERIAN Pertahanan bersedia menghantar pesawat Hercules C-130 untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, kementerian bersedia memberikan bantuan tersebut jika kerajaan memerlukannya.

“Kalau keputusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dibawah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu mengeluarkan rakyat Malaysia (di Wuhan) dan Kementerian Pertahanan diminta bantuan, kita bersedia.

“Kita hantar kapal terbang Hercules C-130, itu kapal pengangkut bukan kapal senjata. Tetapi setakat ini, tiada arahan lagi (daripada Nadma),” katanya kepada media pada satu program di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan jawatankuasa khas untuk membawa warga Malaysia yang terkandas di Wuhan yang terletak di Hubei sudah digerakkan.

Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama Nadma, Kementerian Kesihatan dan Wisma Putra.

Wisma Putra juga sudah ditugaskan mengesahkan jumlah sebenar warga Malaysia yang berada di sana.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke China Raja Nushirwan Zainal Abidin memaklumkan, terdapat 82 rakyat Malaysia berada di Wuhan.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 82 rakyat Malaysia di Wuhan dan bandar-bandar sekitarnya yang dalam situasi ‘lockdown’.

“Secara umumnya mereka dalam keadaan tenang dan baik, serta banyak membantu memberikan butiran rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Putrajaya akan berunding dengan China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan.

“Mereka akan diperiksa apabila tiba di sini. Jika ada bukti mereka sakit daripada virus itu atau jika mereka berada di sana bagi tempoh lama, kami akan kuarantin sebelum membenarkan mereka pulang ke rumah,” katanya.

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat lapan kes positif wabak itu.

Kes kelapan yang terbaru melibatkan seorang wanita warganegara China berusia 49 tahun, yang juga isteri kepada pesakit ketujuh yang disahkan dijangkiti. – 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen