Hala tuju sawit akan dibentang di negara Eropah, kata menteri 


Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata beliau akan menerangkan lebih lanjut mengenai empat dasar industri sawit negara kepada wakil kerajaan di negara terlibat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2020.

SATU pembentangan mengenai hala tuju industri sawit Malaysia bakal diadakan di beberapa negara Eropah pada minggu hadapan dalam usaha kerajaan menangani kempen anti-sawit yang meluas di sana.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata dalam siri lawatan itu, beliau akan menerangkan lebih lanjut mengenai empat dasar industri sawit negara kepada wakil kerajaan di sana.

Menurut beliau lagi, lawatan selama seminggu bermula minggu hadapan itu melibatkan United Kingdom, Sepanyol, Belanda dan Belgium.

“Saya juga akan menyampaikan pendirian Malaysia yang amat menitikberatkan usaha penjagaan alam sekitar seperti menanam semula pokok jenis hutan dan penjagaan haiwan liar.

“Saya juga akan menyatakan bahawa pengusaha sawit Malaysia sangat prihatin terhadap alam sekitar termasuk penjagaan binatang liar,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanaman Sawit Johor di Dewan Serbaguna, Taman Kota Jaya, dekat Kota Tinggi hari ini.

Beliau berkata empat dasar halatuju baharu yang akan dibentangkan termasuk menghadkan keluasan penanaman kelapa sawit seluruh negara dengan penetapan sasaran 6.5 juta hektar dan juga larangan penanaman baharu kelapa sawit di atas kawasan baharu tanah gambut.

“Selain itu adalah larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dan yang terakhir adalah penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit untuk capaian umum,” kata Kok.

Menyentuh mengenai MSPO, beliau berkata sehingga hari ini, sebanyak 64.1 peratus daripada 5.85 juta hektar keseluruhan tanaman sawit di negara ini telah menerima pensijilan MSPO.

Daripada seluas 3.74 juta hektar tanah yang menerima pensijilan itu, 3.04 juta hektar merupakan kawasan estet, sejumlah 505,382 hektar adalah kawasan pekebun kecil tersusun dan 98,637 hektar bagi pekebun kecil persendirian (PKP).

“Jumlah peratusan di kalangan pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia yang menerima pensijilan MSPO masih rendah iaitu hanya 10.1 peratus sahaja.

“Kalau pekebun kecil tidak mendapat pensijilan MSPO ini, mereka akan rugi pada masa hadapan jadi menerusi dialog hari ini, saya berharap segala maklumat dapat disampaikan kepada kesemua pekebun kecil dan diharapkan mereka segera mendapatkan pensijilan ini,” katanya.

Kok berkata Johor berada di tangga kesembilan di negara ini dengan 418.541 hektar telah dipersijilkan MSPO dari 747.562 hektar jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit di Johor.

Pensijilan MSPO adalah pengiktirafan terhadap kebun dan kilang sawit yang diurus menggunakan amalan pertanian baik yang mematuhi usaha menjaga alam sekitar.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama Rosleli Jahari. – Bernama, 30 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen