RAKYAT Malaysia digesa supaya tidak mendiskriminasi pelancong China ketika penularan wabak novel koronavirus novel yang bermula di Wuhan.
Gesaan daripada Pengerusi Persatuan Pelancongan Malaysia (Mita), Uzaidi Udani dibuat selepas terdapat dakwaan ada pelancong China tidak dibenarkan masuk ke masjid Putrajaya.
Lawatan ke masjid ikonik biasanya diatur oleh agen pelancongan. Bagaimanapun, sesetengah kumpulan pelancong China tidak dibenarkan masuk ke masjid yang menjejaskan program perjalanan mereka.
“Kami sudah menjelaskan kepada rakan agensi pelancongan untuk menerangkan kepada kumpulan pelancong yang kami akan meminta bayaran balik,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.
“Pasaran China sangat penting untuk sektor pelancongan dalam negeri. Pelaburan China di Malaysia sangat besar dan hubungan mesra antara Malaysia dan China perlu dikekalkan.
“Kami berharap tidak ada double standard,” katanya sambil menambah yang pelancong China yang masuk ke Malaysia sudah melepasi pemeriksaan suhu di kedua-dua pintu masuk dan keluar.
Beliau berkata Mita juga memberi taklimat kepada pemandu pelancong tempatan agar memantau jika terdapat pelancong memaparkan gejala tidak normal dan segera membawa mereka ke hospital jika keadaan itu berlaku.
“Kami tidak mahu pelancong China berasa tidak berpuas hati atau rasa didiskriminasi. Kami juga berharap rakyat Malaysia tidak panik atau salah faham dengan pelancong China,” kata Uzaidi.
“Komunikasi sangat penting. Ini juga akan menguji keupayaan pemandu pelancong dan syarikat pelancongan dalam menghadapi krisis.
“Sebaliknya, kerajaan Malaysia juga mesti menunjukkan komitmennya untuk mengekalkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.
Uzaidi berkata mesyuarat tergempar diadakan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada Isnin untuk membincangkan keadaan itu.
Beliau juga memuji pendekatan Thailand yang melanjutkan visa pelancong China yang sihat di negara itu. Thailand menerima kira-kira 10 juta pelancong China setahun.
Putrajaya semalam mengumumkan penggantungan sementara visa kepada pengunjung dari Wuhan di wilayah Hubei yang menjadi pusat wabak koronavirus.
Sehingga kini, wabak virus membunuh 80 orang di China, dengan Hubei merekodkan 24 kematian, manakala kes di seluruh negara melebihi 2,700 pesakit.
Virus ini menyebabkan kebimbangan global kerana persamaannya dengan SARS, atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk, patogen, yang membunuh ratusan orang di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.
Malaysia turut terjejas oleh virus itu dengan empat kes disahkan setakat ini. Kesemua mereka adalah warga China.
Uzaidi memberitahu The Malaysian Insight wabak itu pasti akan memberi kesan kepada Tahun Melawat Malaysia 2020, sambil menambah sedang Putrajaya cuba menarik pelancong dari pasaran lain.
“Tahun lepas, 1 juta pelancong Rusia melawat Thailand dan kami menyeru kerajaan untuk meneroka lebih banyak pasaran pelancongan.”
Pemain industri pelancongan juga bertemu dengan wakil khas China ke Malaysia semalam.
Acara pelancongan yang dianjurkan bersama kedua-dua negara dan dijadualkan berlangsung pada Mei masih belum dibatalkan.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Albert Tan Sam Soon berkata kumpulan pelancong yang kini berada di Malaysia bukan dari Wuhan, berdasarkan dokumen perjalanan mereka.
“Syarikat pelancongan tahu dari mana pelancong China berasal. Kumpulan ini dari Guangzhou, Shanghai dan Beijing. Kami sudah mengingatkan pemandu pelancong untuk memberi lebih perhatian kepada tempat asal kumpulan ini,” katanya. – 28 Januari, 2020.
Komen