Malaysia sekat warga China dari Wuhan, Hubei


Wabak koronavirus telah membunuh 80 orang di seluruh China, wilayah Hubei pula mencatatkan 24 kematian baru, dan kes jangkitan virus itu di seluruh dunia kini melebihi 2,700. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

MALAYSIA mengambil keputusan untuk menyekat warga China yang berasal dari Wuhan - ibu negeri Hubei daripada memasuki negara ini buat sementara waktu demi membendung wabak koronavirus, kata Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Dalam satu kenyataan, pejabat perdana menteri itu berkata semua mekanisme kemasukan dalam negara termasuk kemasukan dengan visa percuma, visa ketibaan, e-visa dan visa manual untuk warga China dari Wuhan dan Hubei telah digantung secara serta-merta.

“Keputusan itu dibuat memandangkan perkembangan terbaru novel wabak koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China, terutama di wilayah Hubei dan ia berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Wabak virus itu telah membunuh 80 orang di seluruh China, wilayah Hubei setakat ini mencatatkan 24 kematian, sementara kes jangkitan virus itu di seluruh dunia kini melebihi 2,700.

Kerajaan China mengambil langkah drastik dengan melaksanakan kuarantin ke atas seluruh bandar Wuhan, serta beberapa bandar lain di Hubei, langkah tersebut menjejaskan puluhan juta penduduk demi membendung wabak itu.

Virus koronavirus menjadi kebimbangan dunia kerana bentuk virus itu dilihat sama seperti SARS, atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk, patogen yang membunuh ratusan orang yang melawat tanah besar China dan Hong Kong pada tahun 2002 dan 2003

Malaysia juga turut terjejas akibat virus berkenaan. Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata jumlah kes yang disahkan di Malaysia berhubung  2019-nCoV di Malaysia kekal empat, kesemua mereka adalah warga China.

Kenyataan itu berkata penggantungan akan ditarik balik apabila keadaan kembali seperti biasa.

“Wisma Putra akan menyelaraskan pelaksanaan keputusan ini dengan kerajaan China.”

“Keadaan ini dipantau dari semasa ke semasa. Beberapa pihak melakukan semua yang terbaik untuk membendung wabak itu,” katanya.

JPM turut menambah bahawa Malaysia telah mematuhi prosedur yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah mendapatkan nasihat daripada pakar tentang cara mengawal wabak itu daripada tersebar.

Kerajaan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai virus yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang menyebarkan berita palsu, dan mereka memantau secara dekat hantaran-hantaran di media sosial.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat empat individu kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai wabak Novel Koronavirus 2019.

“Kami melihat penyebaran maklumat palsu berkaitan virus ini dengan serius, dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap (mereka yang menyebarkan maklumat tersebut). Sesiapa yang didapati menyebarkan berita palsu akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan maklumat palsu dengan niat menyebabkan ketakutan atau kecemasan kepada orang ramai.

“Setakat ini, kami telah mengenal pasti empat individu yang menyebarkan berita palsu mengenai virus itu. Mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi kandungan yang menyinggung perasaan,” kata kenyataan bersama itu lagi. – 27 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen