Penyokong muda perjelas sebab sokong Najib


Zaim Ibrahim

Pengaruh Najib dipersoal Dr Mahathir yang menyatakan rasa hairan kerana rakyat masih terpengaruh dengan bekas perdana menteri itu. – Gambar The Malaysian Insight olehHasnoor Hussain, 25 Januari, 2020.

DUA tahun lalu, Abu Bakar Habibullah, 28, antara anak muda yang mendambakan perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Namun kini, beliau sesekali berasa kesal kerana baginya pentadbiran PH lebih teruk jika dibandingkan kepimpinan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada masa sama, beliau tidak percaya dakwaan Najib pemimpin yang bersih kerana ahli Parlimen Pekan itu berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, tetapi Abu tetap menyokongnya.

“Pertuduhan dekat Najib tidak menjejaskan (sokongan rakyat kepada beliau). Sebab kita tengok perbezaan lebih besar antara PH dengan BN.

“Pimpinan beliau (Najib Razak) dulu lebih baik kerana beliau melebihkan rakyat, dasar-dasar kebajikan beliau untungkan rakyat,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditemui dalam satu program santai yang disertai Najib di kawasan Parlimen itu yang mempromosi bekas perdana menteri tersebut dengan gelaran “Bossku”.

Abu juga berpendapat, Najib beliau lebih banyak turun ke padang berjumpa rakyat berbanding wakil rakyat PH tempatan.

Sementara itu, seorang ahli Umno Bahagian Jerai yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul pula percaya tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pemindahan wang haram dihadapi Najib hanya diada-adakan.

Dakwanya Dr Mahathir Mohamad melakukan perkara sama ke atas ahli politik tertentu sewaktu menjadi perdana menteri keempat, dan berpendapat Najib lebih dipercayai.

“Ambil contoh Dr Mahathir waktu jadi Perdana Menteri keempat dulu, berapa ramai yang terpalit dengan kes di mahkamah?

“Kita lihat Najib sekarang, beliau menyerang (PH) dengan fakta, orang ramai boleh nampak kredibilitinya di Facebook,” kata beliau.

Jelasnya, strategi Najib mengulas pelbagai isu di Facebook menyebabkan, sokongan terhadapnya kian bertambah.

Tinjauan The Malaysian Insight ke atas program Najib di Pokok Sena, Guar Cempedak dan Jerai di negeri Jelapang Padi mendapati rata-rata acara itu dihadiri 2,000 orang.

Mereka yang hadir terdiri daripada golongan muda, pertengahan, dan tua – majoritinya kaum Melayu.

Sewaktu program itu, Najib yang kini disekat daripada keluar negara menonjolkan sikap mudah didekati oleh orang ramai.

Najib hadir ke setiap acara berkenaan dengan menaiki motosikal dan tidak menolak permintaan hadirin yang mahu bergambar dengannya – termasuk ketika sedang menjamu selera.

Beliau juga menyertai konvoi motosikal cub dengan kumpulan anak muda yang menyambutnya dengan gelaran “Bossku” dalam bentuk nyanyian lagu rap.

Dalam ucapannya, Najib merayu simpati para hadiri dengan menyatakan kesusahan yang ditanggung dalam penggal ini tidak menjadi masalah.

“Kita datang kena pinjam kereta, tidak macam dulu, kita naik Air Asia, tidak apa, kita sarapan pagi di gerai-gerai kecil, tak jadi masalah.

“Malah kalau kita buat macam rakyat buat, kita menyantuni rakyat, rakyat lebih sayang kepada kita.

“Kalau orang tanya kenapa Bossku jadi fenomena, sebab mereka lihat diri saya yang sebenarnya, bukan sebagai perdana menteri tetapi sebagai manusia biasa,” kata Najib ketika memberikan ucapan.

Seorang lagi penyokong, Muhammad Farhan Ahmad, 33, pula mengenang jasa Najib ketika menjadi perdana menteri yang didakwanya lebih bermakna berbanding skandal rasuah yang dihadapi.

“Najib Razak banyak menggubal dasar-dasar yang bagi kesan kepada rakyat contohnya bantuan-bantuan untuk nelayan, pesawah, dan pekebun kecil.

“Pertuduhan yang dihadapinya tidak beri kesan sebab jasa-jasa dia lebih besar jika dibandingan dengan kes di mahkamah,” tambah ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Bandar Baharu itu.

Seorang hadirin, Zunnasrin Zaidi, 23 pula berkata beliau hadir bukan kerana menyokong Najib tetapi mahu melihat sambutan orang ramai terhadap bekas perdana menteri itu.

Graduan Pengajian Islam Universiti Malaya itu berpendapat, usaha Najib mendekati golongan muda seperti akan mengubah persepsi masyarakat itu terhadapnya.

Ketika ditanya sekiranya beliau menyokong Najib yang kini terpalit dengan pelbagai tuduhan makhakam, Zunnarsrin berkata pilihan itu lebih baik berbanding DAP.

“Sebelum PRU14 saya sokong PH tapi selepas PRU itu prestasi mereka merosot jadi sekarang dah kurang sokonglah.

“Tapi sokongan kepada BN pun masih 50-50. Nak ikutkan kepada maslahah (kebaikan), kalau undi PH kita nampak DAP yang kawal kerajaan.

“Antara mudarat besar dengan mudarat kecil, lebih baik pilih Najib kerana kurang mudaratnya berbanding DAP,” kata beliau yang juga penduduk di Parlimen Jerai.

Pengaruh Najib itu dipersoal Dr Mahathir yang menyatakan rasa hairan kerana rakyat masih terpengaruh dengan bekas perdana menteri itu.

“Kita sampai kepada satu tahap, yang orang cium tangan pencuri, panggil bossku, jadi bossku curi duit pun tak apa. Mencuri tak apa,” katanya di Langkawi, awal minggu ini.

Dr Mahathir juga berkata terpulang kepada rakyat kalau mahu pemimpin yang tidak berintegriti untuk kembali mentadbir negara.

Menjawab kenyataan itu, Najib berkata perkara itu hanya akan ditentukan oleh rakyat. – 25 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen