Apa pun Dr Mahathir cakap, rakyat yang buat keputusan, kata Najib


Zaim Ibrahim

Najib Razak tidak peduli dengan kenyataan Dr Mahathir Moahamd yang memanggilnya pencuri dan penyangak, kerana yang berkuasa menilai pemimpin ialah rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Januari, 2020.

NAJIB Razak berkata pandangan Dr Mahathir Mohamad mengenai dirinya, yang sedang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah, adalah pandangan peribadi perdana menteri, sedangkan pada akhirnya, rakyatlah yang akan membuat keputusan mereka sendiri sama ada menyokongnya atau tidak.

Kata Najib, beliau tidak peduli dengan kenyataan Dr Mahathir – yang memanggilnya pencuri dan penyangak – kerana yang berkuasa menilai pemimpin ialah rakyat.

“Apa-apa pun, (kenyataan) Tun Mahathir itu pendapat dia tapi yang paling penting pendapat rakyat. 

“Saya tetap kepada keyakinan rakyat untuk buat keputusan tepat dan bijak untuk masa depan negara kita.

“Rakyat yang akan pilih (pemimpin). Dia tak bergantung kepada pemimpin cakap tapi rakyat buat penilaian sendiri,” katanya kepada wartawan di Pokok Sena, Kedah.

Najib mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang hairan bagaimana rakyat masih terpengaruh dengan bekas perdana menteri itu yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Kita sampai kepada satu tahap yang orang cium tangan pencuri, panggil bossku, jadi bossku curi duit pun tak apa. ‘It’s okay to steal’ (Adalah okay mencuri),” katanya di Langkawi, awal minggu ini.

Dr Mahathir juga berkata terpulang kepada rakyat kalau mahu pemimpin yang tidak berintegriti untuk kembali mentadbir negara.

“Kalau dia (rakyat) nak orang ini balik okay lah, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ambil lah dan pilih balik. Selepas itu jangan harap PH (dapat) ambil semula (untuk) betulkan semula.

“Jika pengundi mahu penyangak tadbir negara ini kerana mereka beri duit yang banyak kepada anda, silakan,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas amarannya bahawa PH akan menjadi kerajaan sepenggal susulan kekalahan lima pilihan raya kecil (PRK) sejak Mei 2018.

Sabtu lalu, parti sekutu PH, Warisan gagal merampas kerusi Parlimen Kimanis, yang menjadi kekalahan kelima daripada 10 PRK sejak PRU14.

Selain Kimanis, PH turut mengalami kekalahan di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, dan Tanjung Piai. – 24 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen