Berubah atau Pakatan jadi kerajaan sepenggal, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PH akan jadi kerajaan sepenggal jika tidak berubah untuk jadi lebih baik dan mengurangkan pertelingkahan dalaman. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Januari, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) boleh jadi kerajaan sepenggal melainkan ia berubah untuk jadi lebih baik dan mengurangkan pertelingkahan dalaman, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, siri kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) adalah petunjuk untuk ia memperbaiki diri dan khidmat kepada rakyat yang memberi mandat kepada parti itu pada Mei 2018.

“Ya, boleh jadi kerajaan sepenggal melainkan ia berubah,” katanya, ketika ditanya mengenai kemungkinan itu dalam sarapan bersama beberapa wartawan di Langkawi.

Pada Sabtu lalu, Warisan yang mewakili PH kalah PRK Kimanis, kekalahan yang kelima daripada 10 PRK sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita sudah kalah berapa pilihan raya kecil, tetapi mereka nampaknya tidak faham.

“Saya beritahu mereka demokrasi perlukan sokongan kuat daripada rakyat. Sebaliknya mereka kelahi sama sendiri, mereka pecahkan penyokong, dan itu menjadikan mereka lemah.

“Mereka tidak akan menang melainkan mereka berubah,” katanya.

Dr Mahathir mengakui sesetengah anggota PH lebih sibuk dengan “siapa jadi apa”, dan terlupa apa yang sepatutnya dilakukan untuk negara ini.

Beliau mengingatkan negara ini sebenarnya makmur tetapi memerlukan pengurusan yang baik.

“Kita perlukan sedikit pengurusan dan kita boleh jadi lebih baik.

“Orang dari negara lain datang ke negara ini kerana negara ini kaya. Mereka nampak peluang yang ada. Kita di negara ini tidak nampak peluang itu.

“Kita sebaliknya berfikir siapa akan jadi apa, itu saja… bukannya apa yang kita hendak buat pada negara ini,” katanya.

Badan masyarakat dan aktivis mendesak PH memenuhi janji pilihan raya dan memulihkan kembali ekonomi tinggalan kerajaan Barisan Nasional, yang bekas perdana menterinya Najib Razak kini berdepan sebeban pertuduhan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dr Mahathir baru-baru ini meminta rakyat memberi masa kepada pentadbirannya untuk melaksanakan janji perubahan dan menepis tuduhan kononnya PH tidak tahu mentadbir negara.

Menulis di blognya, Dr Mahathir mengingatkan bahawa negara ini masih stabil walaupun berlaku perubahan kerajaan sementara ekonomi dan mata wang berada dalam keadaan kukuh.

Mata wang ringgit sejak beberapa minggu ini menunjukkan perkembangan positif dan berada pada paras RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 10 pagi tadi.

Harga minyak sawit juga melonjak melepasi paras RM3,000 satu tan pada akhir Disember lalu, yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun. – 20 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen