Zahid arah agensi kerajaan bantu banjir


Sebaik dikhabarkan Lim Guan Eng, Zahid terus mengarahkan ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan pasukan polis dan tentera bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang. – Gambar dari Twitter, 5 November, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengaku ada mendapat panggilan dari Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada jam 3.34 pagi yang memohon bantuan kerajaan persekutuan supaya membantu masalah banjir yang melanda pulau itu.

Pengakuan ringkas Zahid kepada wartawan di perjumpaan Expresi Negaraku di Petrajaya, Kuching itu, beliau menjelaskan, sebaik menerima panggilan dari Lim, “Saya terus arahkan ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara untuk menyelaras pasukan polis dan tentera (berkaitan banjir).”

Sekitar jam 8.30 pagi, pasukan tentera dan polis serta pelbagai agensi lain telah digerakkan bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir.

Pulau Pinang telah dilanda lebih 24 jam hujan lebat yang mengakibatkan banjir teruk sehingga mencapai kedalaman 3 hingga 3.5 meter di beberapa kawasan.

Lim, dalam laman video Facebook awal pagi tadi berkata, beliau ada menghubungi timbalan perdana menteri awal pagi itu memohon bantuan kerajaan persekutuan. – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen