Jangan beli vaksin influenza dalam talian, kata Kementerian Kesihatan


Angie Tan

Vaksin yang dihasilkan di luar negara adalah mengikut elemen virus pada masa itu, dan mungkin tidak berkesan setahun kemudian kerana kemungkinan berlaku mutasi. – Gambar EPA, 23 Januari, 2020.

VAKSIN Influenza A yang dijual dalam talian tidak akan digunakan walaupun terdapat kekurangan bekalan di hospital swasta, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai mengenai pembelian vaksin secara dalam talian kerana ia mungkin palsu atau produk yang sudah tamat tempoh.

Vaksin yang dihasilkan di luar negara adalah mengikut elemen virus pada masa itu, dan mungkin tidak berkesan setahun kemudian kerana kemungkinan berlaku mutasi.

“Kementerian Kesihatan tidak pernah meluluskan penjualan vaksin secara dalam talian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Untuk mengimport vaksin, hospital perlu memohon permit import daripada Kementerian Kesihatan.

Lee berkata demikian selepas terdapat kes ibu bapa membeli vaksin secara dalam talian dan membawanya ke klinik agar doktor boleh memberi suntikan kepada anak mereka. 

Ini susulan satu posting di Facebook oleh klinik 24 jam di Bangi, Selangor yang mendedahkan ada individu yang membawa bungkusan mengandungi vaksin kepada doktor di situ.

Klinik berkenaan dibanjiri panggilan daripada orang ramai yang meminta perkhidmatan yang sama. Bagaimanapun, ia menjelaskan tidak akan menyuntik vaksin yang tidak diketahui pengeluarnya kepada pesakit.

Lee berkata vaksin yang dibeli dalam talian adalah berisiko, kerana stok itu mungkin tidak berkesan kerana ia dihasilkan berdasarkan strain influenza yang berlaku ketika itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata vaksin yang dijual secara dalam talian berisiko palsu atau sudah tamat tempoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2020.

“Dengan kata lain, vaksin yang anda berikan pada tahun lepas atau tahun sebelumnya adalah berbeza dari tahun ini. Justeru, kami tidak menolak kemungkinan vaksin yang dijual dalam talian mungkin telah tamat tempoh.

Kedua, menghantar vaksin melalui mel adalah berisiko kerana ia memerlukan pengendalian khusus.

“Terdapat prosedur operasi standard untuk menyimpan vaksin, yang perlu disimpan di bawah suhu rendah. Sekiranya suhu tidak terkawal, vaksin tidak akan berkesan. Oleh itu, membeli vaksin dalam talian benar-benar tidak digalakkan,” katanya.

Malaysia mencatakan peningkatan kes influenza sejak hujung tahun lepas, walaupun ia tidak jauh melebihi corak jangkitan biasa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ahad lalu, The Malaysian Insight melaporkan yang hospital swasta sukar memenuhi permintaan vaksin influenza A kerana permohonan vaksinisasi naik mendadak disebabkan wabak yang berlaku sekarang.

Situasi itu berlaku kerana antara puncanya pusat kesihatan kerajaan hanya memvaksin mereka yang dianggap berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

Ini termasuklah pekerja kesihatan dan pesakit penyakit kronik.

“Ramai orang keliru tetapi hanya kumpulan berisiko tinggi perlu divaksin. Mereka termasuklah kanak-kanak bawah 5 tahun, warga emas bawah 65 tahun, pesakit obesiti dan kencing manis, wanita mengandung dan pesakit dengan kecacatan serius,” kata Dr Lee.

“Sebaliknya, orang lain akan pulih secara automatik bila mereka dijangkiti, dan hanya sedikit sahaja kes komplikasi,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan yang pencegahan lebih baik daripada rawatan dan Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk menambah baik proses pemantauan kesihatan pelajar.

Misalnya, sekolah perlu meminta ibu bapa membawa pulang anak mereka serta merta sekiranya wujud simptom, tambahnya.

“Ibu bapa kemudiannya perlu membawa anak mereka kepada doktor bagi memastikan mereka tidak dijangkiti selesema dan tidak ada komplikasi.

“Mereka yang dijangkiti perlu berehat di rumah dan tidak keluar ke tempat awam untuk mengelak selesema. Jika perlu keluar, pakai topeng.”

Setakat ini, hanya dua buah sekolah ditutup kerana wabak influenza A. Ia adalah SM Sains Teluk Intan di Perak (11 sehingga 19 Januari) dan SK Stella Maris di Tanjung Are, Sabah ( 22 sehingga 28 Januari).

Lebih 180,000 dos vaksin influenza A akan tiba di Malaysia pada hujung bulan ini. – 23 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen