Sabah batal rancangan perkenal pas sementara


Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata keputusan membatalkan PSS dibuat selepas ia dibincangkan dalam Kabinet negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

KERAJAAN Sabah mengambil keputusan memansuhkan rancangan kontroversi memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) yang didakwa menjadi punca kekalahan Warisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan keputusan membatalkan skim itu selepas ia dibincangkan dalam Kabinet negeri, lapor The Star Online.

PSS sepatutnya dilancarkan pada Jun tahun ini untuk menggantikan tiga kad - IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan negeri dan persekutuan berharap PSS akan menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Ia juga diharap dengan pelaksanaan kad keselamatan tunggal itu akan membanteras pemegang kad palsu.

Bagaimanapun, ramai penduduk Sabah dan ahli politik tempatan membantah tindakan itu, dengan mengatakan PSS akan menjadi pas percuma bagi pendatang tanpa izin untuk masuk dan menetap di negeri ini.

Calon Warisan, Karim Bujang kalah dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 10,677 undi berbanding Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional, dengan 12,706 undi pada Sabtu

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya tahun lalu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman pada pilihan raya umum 2018. – 22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen