Pakatan tidak perlukan PAS, kata Saifuddin Nasution


Ravin Palanisamy

PH utuh dan tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Januari, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

“PH utuh dan tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu,” katanya ketika diminta mengulas laporan Free Malaysia Today (FMT) mengenai susunan baharu lanskap politik Malaysia melibatkan Bersatu dan PAS.

Laporan FMT memetik sumber berkata spekulasi timbul selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengadakan perjumpaan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang awal bulan ini.

Spekulasi itu dinafikan Dr Mahathir semalam, dan menjelaskan pertemuan itu adalah pertemuan biasa. Malah beliau sedia berjumpa dengan sesiapa sekalipun, kata perdana menteri.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan hal ehwal pengguna berkata sebarang usaha untuk membawa masuk parti lain ke dalam PH perlu dibuat secara konsensus. 

“Saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa. Saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima keanggotaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia di Kajang.

Salahuddin Ayub pula semalam dipetik BH Online sebagai berkata Amanah menolak sebarang usaha atau cadangan membawa masuk PAS ke dalam PH semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada kerajaan.

Menurut timbalan presiden Amanah itu, tiada keperluan untuk menyerap PAS ke dalam PH atau negeri yang dikuasai pakatan itu atas alasan ia mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Beliau juga menyifatkan kerajaan tidak memerlukan perubahan drastik kerana PH masih mendapat sokongan rakyat. – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen