Jumpa Hadi perkara biasa, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pertemuannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi isu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Januari, 2020.

PERTEMUAN dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang didakwa sedang diatur adalah perkara biasa, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri menjelaskan, tiada sebarang isu dalam pertemuan itu malah beliau sedia berjumpa dengan sesiapa sekalipun.

“Mereka (PAS) berjumpa dengan saya nak suarakan beberapa kebimbangan. Dan saya beritahu kepada mereka, perkara ini mudah. Jika kami melakukan kesalahan jangan sokong kami di Parlimen.

“Jika kita buat perkara yang betul walaupun anda adalah pembangkang, sebab kita lakukan demi kebaikan negara tolong sokong kami.

“Ada sesetengah perkara di Parlimen dan undang-undang daripada kerajaan disokong PAS,” kata beliau dalam satu sidang media di Langkawi.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan satu portal berita yang mendakwa pertemuan itu salah satu daripada gerakan politik Dr Mahathir.

Laporan Free Malaysia Today mendakwa, pertemuan dengan Hadi itu sedang diatur penyokong dr Mahathir.

Ia turut mendakwa, gerakan itu berkaitkan usaha mengangkat PAS ke kuasa persekutuan kerana pentadbiran Pakatan Harapan kini merosot. – 20 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen