Saya tak berada di parti dadah, kata Syed Saddiq


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan laporan mendakwa beliau turut terlibat dalam parti dadah yang diserbu polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan laporan media bahawa beliau turut berada dalam parti dadah yang diserbu polis awal pagi Isnin lepas.

Antara yang ditahan dalam serbuan itu adalah pegawai khas Syed Saddiq, pegawai menteri dalam negeri dan seorang pembantu Adun.

Menteri belia dan sukan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pada 20 Januari, beliau dimaklumkan tentang rencana dalam Johor Press bertarikh 17 Januari yang mendakwa beliau turut menyertai parti itu.

Katanya, laporan menyebut beliau meninggalkan parti sebelum serbuan polis, menambah yang laporan itu kemudiannya diterbitkan Mynewshub.

“Maklumat tidak benar ini juga telah ditularkan oleh pihak ketiga seperti Mynewshub.

“Saya ingin menegaskan bahawa kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press adalah tidak benar sama sekali. Malah, dakwaan bahawa ada cubaan ‘melobi projek-projek besar di Kementerian Belia dan Sukan’ adalah salah dan telah menjejaskan imej baik kementerian,” katanya yang juga ketua Pemuda Bersatu itu.

Tambahnya, sepanjang menjadi menteri, pencapai KBS dalam Public Service Corruption Rangking (PSCR) dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin cemerlang.

Katanya lagi, beliau juga akan membuat laporan polis mengenai berita palsu itu dan akan mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam untuk tindakan undang-undang.

17 orang ditahan dalam serbuan polis dibuat pada jam 4.40 pagi, minggu lepas.

Antara yang ditahan ialah Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor, seorang pembantu kepada setiausaha politik perdana menteri, bekas atlit sukan Sea Kau Git Kuar dan ahli perniagaan.

Adhif Syan kemudian memberitahu media yang beliau “berada di tempat dan masa yang salah” dan berikrar terus berkhidmat untuk kawasannya.

16 orang daripada 17 yang ditahan diuji positif dadah jenis methamphetamine.

Bersatu sudah menggantung jawatan Adhis Syan dan seorang lagi pemimpin Pemuda Bersatu yang ditahan dalam serbuan itu.

Sumber polis memberitahu The Malaysia Insight yang ahli perniagaan itu dikenal pasti sebagai penganjur parti dadah itu yang diadakan khusus untuk melobi kontrak lumayan kerajaan.

Ahli perniagaan itu dipercayai menyediakan wanita dan dadah untuk tetamu parti itu, malah turut menganjurkan sesi judi untuk mereka.

Antara wanita yang ditahan termasuklah pelajar kolej swasta dan wanita asing. – 20 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen