Catu air di Kedah jika masalah bekalan makin buruk, kata menteri


Zaim Ibrahim

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar mengulas mengenai masalah bekalan air di Kedah selepas melawat sebuah loji kumbahan di Langkawi bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Januari, 2020.

CATUAN air akan dijalankan di Kedah sekiranya masalah bekalan air disebabkan cuaca panas semakin buruk, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar.

Sebelum itu, kerajaan boleh mengguna telaga tiub yang dibina di beberapa kawasan di Kedah untuk mengatasi kekurangan air, katanya.

“Kita telah pun ada beberapa pam (telaga) tiub yang telah dipasang sejak tahun lepas di Kedah.

“Kita akan membuka pam tiub itu dan mungkin akan menambah lagi, untuk memastikan bekalan air mencukupi.

“Jika keadaan kian melarat, kita terpaksa mencatukan air,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat sebuah loji kumbahan di Langkawi bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan Negeri Kedah sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi menentukan masa yang paling sesuai untuk membuat proses pembenihan awan.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata pembenihan awan yang dijadualkan hari ini mungkin tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Semalam, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada petani dan pengguna domestik di Kedah agar menjimatkan air ekoran penyusutan serius takungan air di empangan utama negeri itu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menyatakan, paras air di Empangan Muda paling serius, di tahap 16.1% manakala Empangan Pedu 50% dan Empangan Ahning 64%. 

Di Pulau Pinang juga, penduduk mula menjimatkan penggunaan air apabila kadar air di empangan berada pada tahap kritikal iaitu di Empangan Teluk Bahang pada paras 38.9%, Air Itam (61.4%) dan Mengkuang (73.6%). – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen