Air di Empangan Muda tinggal 16%


Pesawah di Kedah dinasihatkan mengoptimumkan penggunaan air dan tidak melakukan pembaziran di sawah susulan penyusutan air di empangan utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020.

PIHAK berkuasa mengeluarkan amaran kepada petani dan pengguna domestik di Kedah agar menjimatkan air ekoran penyusutan serius takungan air di empangan utama negeri itu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menyatakan, paras air di Empangan Muda paling serius, di tahap 16.1% manakala Empangan Pedu 50% dan Empangan Ahning 64%, lapor Berita Harian.

Ia memetik kenyataan Pengurus Mada Fouzi Ali yang menyebut, pengguna domestik akan diutamakan berbanding petani jika keadaan semakin buruk – jika Empangan Pedu kurang dari 27%.

Namun pada masa ini, Mada masih boleh mengeluarkan 113 meter padu air sesaat untuk petani dan pengguna lain, kata Fouzi.

“Justeru kami memohon semua pesawah dapat mengoptimumkan penggunaan air dan tidak melakukan pembaziran di sawah,” katanya lagi.

Kesan perubahan iklim yang membawa musim kemarau lebih awal dari biasa itu turut berlaku di Kedah, yang menyaksikan penyusutan serius di dua empangan utama – Air Itam dan Teluk Bahang.

Pejabat Perbekalan Air Pulau Pinang menyatakan simpanan air di Empangan Air Itam kini berada pada tahap 62% manakala Empangan Teluk Bahang 39.5%.

Keadaan ini dijangka berlarutan hingga akhir Mac. – 18 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen