Lebuh raya PLUS tetap diselenggara walau tol turun, kata PM


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PLUS memberi jaminan pemegang konsesi masih boleh membiayai kerja penyelenggaraan dan pemulihan lebuh raya walaupun harga tol dikurangkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Januari, 2020.

MUTU lebuh raya tidak akan terjejas dengan pengurangan harga tol di semua lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS) sebanyak 18% dan penangguhan kenaikan kadar tol, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata PLUS memberi jaminan pemegang konsesi tersebut masih boleh membiayai kerja penyelenggaraan dan pemulihan lebuh raya.

“(PLUS) bagi pengakuan dengan mengurangkan (harga) tol sebanyak 18% dan tidak ada kenaikan tol selama 38 tahun, dia dapat perolehan mencukupi membiayai kerja-kerja pemulihan dan penyelengaraan.

“Kita percaya kegunaan jalan akan meningkat dan tambah pendapatan Khazanah, dan kita dapati (PLUS ada) punca pendapatan lain seperti iklan dan lain-lain,” kata beliau.

Ahli Parlimen Langkawi itu bercakap kepada pemberita selepas melawat sebuah loji kumbahan di pulau tersebut hari ini.

Kabinet pada 16 Januari memutuskan mengumumkan kadar tol bagi kenderaan persendirian yang menggunakan lebuh raya di bawah kendalian Plus diturunkan 18% berkuat kuasa 1 Februari.

Pemegang konsesi itu juga tidak dapat menaikkan kadar tol sehingga 2058.

Pengumuman itu sebagai alternatif kepada rancangan pengambilalihan Plus untuk memasuhkan bayaran tol bagi memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan. 

Khazanah menerusi UEM Group Bhd memegang 51% saham dalam Plus manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memegang 49%.

Pengambilalihan tersebut tidak diteruskan selepas menerima bidaan empat syarikat – RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd serta ahli perniagaan Halim Saad dan Wong Gian Kui melalui Karongsa Private Capital Sdn Bhd.  – 19 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen