Festival orang marah-marah


Mahdzir Ibrahim

HARI ini kita mengenali festival kebudayaan seantero dunia, dari benua Amerika seperti SOFA (Sculpture Objects Functional Arts and Design ) di Chicago, Coachella di California, Tango Festival yang dijayakan setiap Ogos di Buenos Aires, Argentina, begitu juga dengan festival Carnaval di kotaraya Rio de Janeiro, Brazil hingga ke Eropah seperti festival Edinburgh.

Semua festival ini bermula dengan tradisi yang meletakkan identiti budaya sesebuah bangsa sebagai subjek. Sungguhpun ia berlatarkan tradisi, ia terus hidup dalam dunia yang sofistikated malah festival ini membawa kesan ekonomi yang bukan kecil, berbillion transaksi dan pelaburan dapat dijana menerusi festival ini.

Seperti Festival Kebudayaan Edinburgh yang bermula semenjak 1940-an, hingga kini ia terus wujud dan menjadi tarikan penting masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Satu kajian telah dijalankan pada 2010 untuk memahami impak festival ini terhadap sosial dan ekonomi, penemuannya agak luar biasa.

Sebanyak 245 juta pound (RM1.36 billion) transaksi direkodkan meliputi penjualan tiket, tempahan hotel penginapan, penyewaan, makan minum, cenderahati, dan jualan barangan seni yang lain ketika festival ini berlangsung.

Lebih 85% pengunjung ke temasya ini bersetuju bahawa festival ini berjaya mempromosikan identiti Scotland dan 89% responden bersetuju bahawa festival ini telah meningkatkan kebanggaan rakyat tempatan. Ia meletakkan status yang tinggi ke atas bandar Edinburgh dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Untuk memiliki status seperti itu, bandar Edinburgh tidak memerlukan pembinaan bangunan besar seperti Burj Khalifa, memadai dengan mengetengahkan identiti bangsa Scotland yang kaya dan unik.

Dari kajian itu juga, sebanyak 77% pengunjung berpendapat bahawa festival ini berjaya menggalak dan memperluas akses kepada bakat serta genre seni yang baru dan unik.

Malah, 93% ibu bapa bersetuju bahawa dengan mengunjungi Festival Edinburgh bersama keluarga, ia berupaya meningkatkan imaginasi anak-anak mereka.

Festival seperti ini bukan sahaja menambah transaksi wang ke dalam poket rakyat tetapi ia menjadi mercu identiti bangsa Scotland yang disayangi dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Kemajuan vs Identiti

Ini seharusnya menjadi persoalan kepada kita apabila negara-negara di Eropah yang maju ekonomi, sains dan teknologinya, masih mampu mengekalkan identiti budaya mereka. Kemajuan tidak mencacatkan kekayaan kebudayaan dan identiti bangsa mereka.

Sekarang kita tanya, apakah kita ada festival seumpama itu yang mampu mengkristalkan identiti bangsa kita dalam peradaban dunia?

Adakah karnival Jom Heboh TV3 mampu?

Kita ada beberapa contoh yang mungkin sedikit sebanyak boleh diharapkan antaranya Sarawak Rainforest World Music Festival dan George Town Festival. Walau bagaimanapun, ini tidak memadai kerana ia belum benar-benar menampilkan imej dan keperibadian identiti bangsa Malaysia.

Rainforest World Music Festival ini lebih menonjolkan “world music”, ia hanya fokus kepada muzik-muzik etnik dari serata dunia.

Sememangnya ia mampu menarik pencinta muzik dari Eropah mahupun Amerika atau Afrika, tetapi bukan rakyat marhaen.

Begitu juga dengan George Town Festival, ia lebih fokus kepada identiti kebudayaan Pulau Pinang, atau Penang sentrik. Ia hanya melimpah sebagai tarikan kepada golongan urban.

Bangsa Yang Marah

Bangsa kita ini meliputi pelbagai etnik, jalur budaya kita berlapis-lapis. Bugis, Jawa atau Minang ini bukan sekadar kostum atau loghat bahasa kedaerahan sebaliknya ia meliputi muzik, permainan tradisi, sastera, lukisan, arca, seni kraf yang unik dan antik serta pelbagai makanan yang telah dikongsi sejak sekian lama oleh semua kaum di Malaysia.

Mungkinkah kita mampu mengadakan Festival Bugis atau Festival Jawa atau Festival Minang bagi memaparkan festival yang “people centric”?

Sayangnya, kita telah mengharamkan banyak permainan rakyat seperti Kuda Kepang, Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri dan pelbagai lagi. Kesenian-kesenian ini tidak lagi dapat dinikmati oleh kita, apatah lagi generasi baru dan masyarakat dunia.

Bangsa kita ini lebih berbangga menjadi tuan rumah acara sukan, tuan rumah persidangan perniagaan atau dialog ekonomi. Ini kepercayaan kita.

Kepercayaan ini menjadikan kita bangsa yang kering identiti, juling memahami kemajuan dan keliru dengan tujuan hakiki ekonomi dan politik.

Implikasi dari krisis ini, kita menjadi bangsa yang mudah marah-marah. Marah pada Barisan Nasional, marah pada Pakatan Harapan, marahkan babi, marahkan anjing, marahkan komunis, marahkan Cina dan pelbagai kemarahan lagi.

Kita berkumpul seperti satu festival untuk menyatakan marah. Apabila Dr Mahathir Mohamad mengaitkan Najib Razak dari kalangan Bugis lanun, orang Bugis pun melenting marah dan berkumpul menjadi festival orang yang marah-marah.

Kemuncak dari kemarahan ini, generasi muda kita menjadi lesu hingga malas berfikir, malas mencuba dan malas mendaftar menjadi pengundi. Kitaran ini akan berterusan dan kita akan terus terperangkap dalam enigma. – 4 November, 2017.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen