Kenapa Peguam Negara tidak dakwa Anwar, tanya Yusoff Rawther


Chan Kok Leong

Ditemani oleh peguamnya, Haniff Khatri Abdulla (kanan), Yusoff berkata beliau kecewa dengan keputusan AGC tidak meneruskan meneruskan pendakwaannya terhadap Anwar berhubung salah laku seksual. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Januari, 2020.

MOHAMMED Yusoff Rawther sedia menjawab saman sivil Anwar Ibrahim terhadapnya namun pada masa sama menuntut Peguam Negara memberi penjelasan kenapa presiden PKR itu tidak dihadapkan ke mahkamah kerana menyerangnya secara seksual.

Dalam sidang media bersama peguamnya, Yusoff berkata Tommy Thomas perlu menjelaskan maksud ‘percanggahan fakta yang material’ seperti dinyatakan dalam keputusan badan perundangan itu untuk tidak mendakwa Anwar kerana kekurangan bukti.

Yusoff berkata beliau kecewa dengan keputusan AGC tidak meneruskan meneruskan pendakwaannya terhadap Anwar berhubung salah laku seksual.

Yusoff sebelum ini mendakwa Anwar mencabulnya pada 2 Oktober 2018.

“Saya amat kecewa dengan keputusan AGC. Saya amat marah dengan keputusan yang mereka buat ini,” katanya pada sidang media di pejabat guaman Haniff di Kota Damansara.

Peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla berkata pihaknya sudah menulis kepada Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

“Para keempat (kenyataan) AGC perlu dijelaskan sama ada bertentangan dengan pengadu atau sebaliknya,” kata Haniff.

Beliau berkata surat itu sudah dihantar kepada AGC semalam.

Sementara itu, Haniff berkata beliau masih belum menerima notis saman dari peguam Anwar yang diwakili oleh Karpal Singh & Co.

Katanya peguam Anwar sudah menulis kepadanya untuk bertanya jika firma mereka layak untuk menerima tuntutan guaman dan beliau menjawab ‘ya’.

Namun sejak itu kata Haniff, tiada notis yang diberikan.

Apabila ditanya tentang saman itu, Yusoff berkata beliau sedia berdepan dengan hal itu.

“Jika Anwar mahu menyaman saya, silakan!”  – 17 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen