Tuduhan Anwar mencabul tiada bukti, kata Hamid Bador


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata menjelaskan pihaknya akan membuka semula kertas siasatan sekiranya ada penemuan bukti baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2020.

TIADA apa-apa yang mencurigakan apabila Pejabat Peguam Negara tidak mengemukakan pendakwaan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim atas tuduhan mencabul, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Jelas beliau, keputusan tiada pendakwaan itu juga selaras dengan hasil siasatan polis yang mendapati kes itu tidak cukup bukti.

“Tiada sesuatu maklumat yang bercanggah dalam keputusan pejabat peguam negara itu. 

“Kes itu sudah lama dan polis sudah melakukan siasatan sebaiknya dan tiada bukti secara fizikal bagi membantu pendakwaan kes berkenaan,” katanya pada sidang media di Pulapol, hari ini.

Abdul Hamid bagaimanapun menjelaskan pihaknya akan membuka semula kertas siasatan sekiranya ada penemuan bukti baharu.

Semalam, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek mengumumkan tiada pendakwaan jenayah serangan seksual akan dikemukakan terhadap Anwar kerana terdapat percanggahan fakta yang material hasil siasatan polis.

Ditanya apakah ujian poligraf pengadu Muhammed Yusoff Rawther tidak membantu siasatan, Abdul Hamid berkata ujian tersebut adalah sebahagian daripada proses siasatan.

“Ujian poligraf memang membantu siasatan, ia untuk memastikan sama ada dia bercakap benar atau tidak. Selepas mendapat kesahihan, kami mula mencari bukti lain pula. 

“Tetapi, ujian poligraf ini tidak dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, Yusoff melalui satu akuan bersumpah mendakwa beliau diserang secara seksual oleh Anwar di kediaman Ahli Parlimen Port Dickson itu di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa kejadian berlaku pada 2 Oktober.

Anwar menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai “fitnah tanpa asas”.

Anwar berkata pada hari yang didakwa, beliau sibuk berkempen untuk pilihan raya kecil Port Dickson.

Pada 17 Disember, lebih kurang 10 selepas diambil keterangan oleh pihak polis, Yusoff menjalani ujian poligraf untuk membantu siasatan. – 15 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen