Sindrom mentaliti analog


Zainal Rashid Ahmad

AGENSI kajian strategik berpangkalan di Amerika Syarikat pada 2018 melaporkan: Malaysia antara “negara tepu” yang masih bergantung pada industri buruh murah.

Gallup - agensi kaji selidik berpengaruh - menyifatkan, sikap konservatif Malaysia terhadap penguasaan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 menyebabkan berlaku pembaziran tenaga kerja.

Menurut kajian Gallup, secara keseluruhannya, kegagalan berinteraksi dengan teknologi industri menyebabkan keberhasilan produktiviti negara berada pada tahap “kekal lesu”.

Gallup menasihatkan, kerajaan wajar memberi insentif kepada pelaburan dalam automasi di semua sektor, secara berperingkat.

Ini fakta kajian Gallup yang digunapakai PBB dalam laporan mengenai persekitaran guna pakai teknologi dalam industri berteraskan digital.

Secara relatif, kajian ini memberikan indikasi kelesuan jabatan dan agensi kerajaan menguasai strategi digital. Kesan sikap ini memberi impak pada hala tuju negara dalam era IR 4.0 dan Kepintaran Buatan (AI).

Implikasi ini jauh lebih serius mpaknya berbanding prasangka sabotaj “daulah terpendam”.

Rakan perunding motivasi dan penstrukturan pengurusan pula berkongsi pengalaman lebih membimbang.

Sebagai perunding yang banyak terlibat dalam program anjuran jabatan dan agensi kerajaan - pakar peralihan bisnes ini merumuskan padangan lebih ekstrim.

“Apabila muncul era digital, penjawat awam menganggap ia ledakan bagi masyarakat awam. Teknologi Maklumat (IT) dan Teknologi Komunikasi (CT) tiada kaitan dalam pekerjaan harian mereka,” katanya.

Memandangkan ketua-ketua agensi dan pengurusan kanan sendiri enggan mengubah gaya kerja mengikut trend semasa, jentera kerajaan menjadi lemah.

Ini jurang utama dalam konteks kegagalan menyesuaikan diri dengan demand masyarakat.

Rakan karib ini enggan namanya disebut. Namun, berkongsi pandangan secara terbuka setiap lali kami bertemu dan bertukar-tukar perkembangan.

“Apabila muncul Malaysia Baru dan harapan pelanggan (rakyat) makin tinggi, sistem mentaliti digital masih di takuk lama. Malah, penguasaan ‘big data’ di tahap minimum,” katanya.

Sekiranya IT dan CT yang menjadi teras digital sejak dua dekad lalu masih sukar diaplikasi, apakah jentera kerajaan bersedia ke era IR4.0 dan “big data” sebagai keutamaan operasi?

Pendedahan pakar strategi ini bukan satu kejutan. Dilema “otak analog” satu isu lama. Dilema sikap pasif agensi dan jabatan kerajaan terhadap ledakan digital.

Apa pun, hakikatnya - fenomena digitalisasi lebih teruk kesannya terhadap sektor swasta.

Runtuhnya empayar media

Ironinya, media massa bersaiz gergasi pun, musnah kerana sindrom “otak analog”. Tenaga kerja senior dengan krisis mentaliti dinasaur menyebabkan fokus bisnes kekal di takuk lama.

Kegagalan gergasi media seperti Kumpulan Utusan mengubah trend perniagaan pada awal alaf ke 21, menyebabkan syarikat itu terpaksa gulung tikar Oktober tahun lalu.

Dengan edaran akhbar yang menjunam setiap enam bulan, Kumpulan Utusan kehilangan sumber pendapatan utama. Malah, menanggung kerugian terkumpul lebih RM200 juta sejak 2011 hingga 2017.

Ketika digulung, syarikat itu menanggung beban hutang melebihi RM300 juta.

Kumpulan Utusan barangkali dianggap konservatif kerana teras perniagaannya ialah akhbar.

Ada jenaka sinis di kalangan wartawan: “Ratusan pembaca mati setiap hari dan akhbar kehilangan puluhan ribu langganan setiap tahun!”

Jenaka ini merujuk pada kemeruduman ketara edaran akhbar secara tahun ke tahun sejak 2015.

Pada penghujung suku tahunan 2016, edaran akhbar Utusan Malaysia masih sekitar 180 ribu nashkah sehari. Namun, pada suku pertama 2018, angkanya menyusut dibawah 50 ribu nashkah.

Konflik yang sama melanda kanglomerat Media Prima Berhad. Walaupun memiliki platform perniagaan media 360 darjah – syarikat itu turut berdepan kemelut bisnes yang kritikal.

Realiti tindakan pengurangan penjawat antara impak terburuk dialami MPB. Gergasi media itu melaksanakan empat kali skim VSS dan MSS membabitkan pembuangan lebih 1500 pekerja.

Semuanya bukti – digitalisasi maklumat telah menghapuskan dinasaur cetak.

Industri buku menuju mati

“Bisnes buku kami OK dan platform e-buku sangat sukses,” kata pemilik syarikat penerbitan besar.

Saya hanya mendiamkan diri. Bercakap benar dan bercakap besar adalah dua benda berbeza.

Apabila bercakap mengenai industri buku, tentulah kita tidak bercakap besar mengenai apa yang dicapai secara individu.

Sebaliknya, ia ruang bicara untuk melihat secara kolektif mengenai keseluruhan ekosistem perbukuan.

Penerbit kecil yang lebih jujur secara terbuka mengakui, suasana perit untuk terus bertahan.

“Kami terus menerbitkan buku fizikal walaupun jualan per judul sukar mencapai 500 naskah,” kata penerbit kecil.

2019 menjadi tahun paling menginsafkan mengenai industri buku. Saya terpegun melihat gudang lelong buku di Taman Shamelin.

Timbunan buku yang tersimpan dalam gudang ini milik Kumpulan Utusan. Nilai asalnya sekitar RM15 juta.

Sesi lelongan pada Disember lalu, kini disambung lagi pada Januari. Pada dua minggu pertama dulu, pembeli berkerumun kerana buku dilelong semurah 50 sen hingga RM10.

Broker kaut untung lelongan

“Saya beli secara borong sebab harga lelong. Malah, di kaunter ketika membayar, kita diberikan diskaun tambahan. Saya beli dan jual semula di Facebook,” kata Siti Lisa Jalil.

Ratusan broker atas talian muncul di gudang ini sekerap mungkin. Broker memilih jenis buku yang sesuai dijual semula pada komuniti media sosial mereka.

“Saya pilih buku berkaitan kesihatan, masakan dan agama,” kata Siti Lisa.

Berbekal RM500 sebagai modal, broker seperti Siti Lisa berulang-alik ke Taman Shamelin membeli dan menjual semula pada rakan-rakan Facebook. Majoriti pembelinya berada di luar Kuala Lumpur.

“Saya beli beberapa jenis buku pada harga RM2 hingga RM5 sebuah. Harga asal antara RM30 ke RM50,” katanya.

Buku-buku ini dijual semula pada harga RM15 hingga RM20 di Facebook dengan kos kiriman pos ditanggung pembeli.

“Ya… masih ada pembeli di Facebook mencari buku-buku lelong. Saya datang setiap tiga atau empat hari sekali memborong buku-buku,” kata Siti Lisa.

Apabila buku bernilai RM15 juta dilelong dengan sasaran jualan RM1 juta, ia realiti kontradik berbanding dengan cakap besar pemain utama industri buku.

Relatifnya, secara keseluruhan, orang yang waras pasti mengakui: industri buku sedang rebah teruk dan sebentar lagi bakal menuju mati. – 15 Januari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen