Mufti Perlis sindir menteri pertahan isu tanglung, membisu isu Jawi


Dr Mohd Asri berkata beliau 'kagum' dengan tindakan kalangan menteri Kabinet yang sanggup datang ke sekolah terbabit untuk mempertahankan isu tanglung itu walaupun sibuk dengan jadual masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2020.

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyindir menteri Kabinet kerana mempertahankan isu hiasan tanglung Tahun Baharu Cina di sebuah sekolah, tetapi tidak bersungguh dalam isu Jawi.

Dr Mohd Asri berkata beliau ‘kagum’ dengan tindakan kalangan menteri Kabinet yang sanggup datang ke sekolah terbabit untuk mempertahankan isu tanglung itu walaupun sibuk dengan jadual masing-masing.

“Bukan mudah bagi seseorang menteri yang mempunyai jadual yang sibuk untuk turun beramai-ramai membuat lawatan ke sekolah tersebut.

“Termasuk (menteri) yang jaga agama-agama, kan? Tapi, kerana ini lambang perpaduan.

“Tapi dalam isu Jawi, walaupun bukan syarat manusia mesti belajar Jawi, ia dilayan dengan tidak betul,” katanya ketika menyampaikan satu ceramah bertajuk ‘Antara Tanglung dan Jawi’ semalam.

Beliau turut membangkitkan kecaman dan bantahan sesetengah pihak termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) apabila Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi memperkenalkan pembelajaran Jawi di sekolah.

Katanya tidak ramai menteri yang berani tampil membuat kenyataan bagi membetulkan keadaan atau berkata kepada pihak terbabit bahawa tidak ia patut berbuat demikian.

“Tak ada pula menteri pergi (beritahu) bahawa Jawi juga untuk perpaduan. Pegang tanglung tak menjadikan orang itu Cina, mereka kata.

“Kita kata pasal apa nak pertahan tanglung? Pasal akidah kah? Bukan masalah tanglung tu, tetapi masalah bagaimana awak melayan isu. Ketakutan, tidak adil, sikap yang bias.” katanya.

Isu tanglung timbul selepas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah sekolah di Puchong kerana bertindak keterlaluan menghias sekolah itu sehingga membangkitkan kemarahan ibu bapa pelajar Islam.

Isu ini mendapat perhatian sejumlah menteri diketuai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sanggup hadir untuk mempertahankan  sekolah tersebut.

Antara menteri lain yang hadir termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng,  Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Agama Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Sumber Asli, Tanah dan Air Dr Xavier Jeyakumar. – 11 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen