Pendidik Cina kecam kenyataan Asri mengenai sekolah vernakular


Angie Tan

Majlis Bahasa Cina Malaysia berkata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengabaikan sejarah 200 tahun sekolah vernakular dan bakat yang dihasilkannya selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

SOKONGAN Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin terhadap penutupan sekolah vernakular dengan alasan ia menjejaskan perpaduan negara adalah bertentangan dan berdasarkan fakta yang salah, kerana sekolah Cina terutamanya mempunyai bilangan pelajar kaum lain yang tinggi, kata aktivis pendidikan Cina Malaysia.

Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia Wang Hong Cai berkata Asri menunjukkan kejahilannya mengenai pendidikan vernakular di Malaysia, dan prasangkanya terhadap sekolah Cina dan Tamil tidak berasas.

“Asri menidakkan sejarah 200 tahun sekolah vernakular dan bakat yang dihasilkan untuk negara ini, dan menyalahkan ia bagi segala pergeseran kaum,” kata Wang kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan mufti di akaun Facebook miliknya dua hari lalu yang berkata Malaysia akan sentiasa menghadapi masalah perkauman selagi sekolah vernakular wujud.

Asri juga menyokong petisyen dalam talian yang diwujudkan lima bulan lalu, menggesa penutupan sekolah vernakular dengan menyiarkan pautan berkenaan di Facebook, menyebabkan peningkatan jumlah tandatangannya secara mendadak  

Hantaran Facebook mufti mengenai sekolah vernakular juga menerima ratusan ulasan dan disukai oleh ribuan pengguna.

Wang berkata sekolah rendah Cina, khususnya, tidak boleh menyebabkan perpecahan kaum kerana pelajar daripada pelbagai kaum turut belajar di sana.

Berbanding sekolah rendah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, hampir 18% murid di sekolah rendah Cina adalah bukan kaum Cina dan kebanyakannya orang Melayu, kata beliau.

“Pelajar daripada semua kumpulan etnik belajar bersama. Terdapat juga ramai pelajar siswazah bukan Cina yang belajar di China sekarang. Justeru, sekolah rendah Cina mengiktiraf dan menerima kepelbagaian kaum.

“Asri dan tuduhannya memperlihatkan kejahilan beliau terhadap pendidikan vernakular, dan pandangan yang terlalu ketinggalan. Mungkin beliau mempunyai agenda peribadi, tetapi beliau mengabaikan Perlembagaan dan tidak mempedulikan perpaduan negara,” kata Wang. – 1 Januari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen