Petisyen mansuh sekolah vernakular dapat sambutan selepas disokong mufti Perlis 


Alfian Z.M. Tahir

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan sokongannya terhadap petisyen untuk memansuhkan sekolah vernakular di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2019.

SOKONGAN terhadap petisyen dalam talian untuk memansuhkan sekolah vernakular yang kurang mendapat sambutan sejak beberapa bulan lalu kini meningkat selepas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memuat naik rayuan di Facebook pada Isnin.

Petisyen yang dibuat lima bulan lalu mendapat 125,000 tandatangan semalam, namun jumlah itu meningkat kepada 146,670 setakat hari ini, yang mana ia hampir mencapai sasaran 150,000 tandatangan. 

Posting Mohd Asri dikongsikan lebih seribu pengikut di Facebook, mendapat 6,000 like dan menerima 500 komen.

Kebanyakan mereka menyokong sekolah vernakular Cina dan India ditutup, kerana percaya institusi ini menjadi punca ketegangan kaum dan agama. 

Semalam, mufti Perlis itu mendakwa sekolah vernakular menjadi punca kepada isu kaum dan agama di negara ini sebelum memuat naik nota mengenai petisyen itu di Facebook.

Petisyen itu turut menggesa penubuhan “sekolah kebangsaan Malaysia satu aliran”.

Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak akan terhenti selagi wujud pendidikan vernakular.

Kenyataan Asri itu dibuat selepas mahkamah menghalang kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong mengadakan kongres Jawi Sabtu lalu. 

“Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti,” kata Asri. 

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini.” – 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen