HIASAN meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (SMKPBP1) tidak perlu dijadikan isu, kata ibu bapa pelajar sekolah itu.
Mereka berpendapat, sekolah berkenaan mempunyai reputasi yang baik, dengan guru yang berdedikasi mendidik pelajar, dan isu itu hanya mencalarkan imejnya.
Mereka juga melihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya memainkan isu itu untuk agenda politik, sedangkan sambutan perayaan utama di negara ini sudah diraikan di sekolah itu sejak 12 tahun lalu.
“Saya rasa mungkin, ini pendapat saya, cikgu juga tidak gembira. Anak perempuan saya Tingkatan 2, dia kata perkara itu salah. Rakan-rakannya, pelajar sekolah ini sendiri rasa perkara itu salah.
“Putra sebagai satu organisasi bagi saya pemikiran mereka salah. Kita bukan lagi ortodoks, kita sekarang pemikiran berbilang bangsa,” kata Indrani Selva Kumar, 48, ketika ditemui, di sekolah berkenaan, semalam.
Bekas peguam itu berkata, pihaknya juga merasakan perkara itu keterlaluan, lebih-lebih lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Tahun ini tahun melawat Malaysia, kita tunjukkan kepada dunia sambutan Hari Raya Cina, Deepavali, Aidilfitri, tapi bila ini berlaku, saya tak akan setuju kalau mereka turunkan hiasan.
“Itu sekadar hiasan, bila kita lihat kita tahu itu hanya hiasan, tidak perlu bawa isu agama. Itu salah,” katanya.
Seorang lagi ibu, yang hanya mahu dikenali sebagai Leong berkata, sejak 12 tahun lalu sekolah tersebut meraikan sambutan perayaan kaum terbesar di dalam negara.
Saban tahun, katanya, laman bagi Program Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) itu akan dihias mengikut tema perayaan-perayaan tersebut tanpa sebarang isu.
“Pihak sekolah akan sambut Hari Raya Puasa, Deepavali, dan Tahun Baru Cina, dimulakan pengetua untuk pupuk perpaduan. Kami mulakan dengan nama “Jalinan Kasih” bagi setiap perayaan.
“Sambutan itu sudah ada sejak 12 tahun lalu dan guru-guru pun tahu kita tidak menyentuh soal mana-mana agama.
“Kenapa perlu jadikan isu, kami mahu biar anak-anak kami mengenali budaya antara satu sama lain, itu budaya yang baik,” katanya, yang berusia awal 50-an.

Leong berkata, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama pihak sekolah juga akan bersama-sama berganding bahu menghias laman berkenaan bersama-sama berdasarkan sambutan.
“Semasa sambutan Hari Raya kami bergotong-royong masak, bila Deepavali nanti ada hiasan kollam, sewaktu Tahun Baru Cina pelajar-pelajar sekolah akan membuat persembahan tarian Cina,” katanya.
Sebagai ibu bapa, mereka juga katanya sedih apabila elemen muhibah yang diterapkan dijadikan isu pihak-pihak tertentu.
“Kami ibu bapa sangat sedih apabila ini berlaku, kami semua muhibah. Ada pelajar Melayu juga buat persembahan tarian Cina, ada pelajar India buat tarian Melayu, begitu juga sebaliknya.
“Menyedihkan bila sekolah ini dijadikan isu, mungkin mereka ada agenda peribadi,” katanya.

Seorang lagi ibu yang enggan dikenali berkata, parti politik tidak seharusnya menggunakan sekolah untuk agenda mereka.
“Kenapa sekolah ini dijadikan isu, adakah mereka cuba nak mencetuskan isu perkauman?” katanya, yang mempunyai anak belajar di Tingkatan 1 di sekolah terbabit.
“Hiasan itu untuk program kaligrafi hujung minggu ini, memang sesuai dengan temanya, kenapa orang luar yang tiada kena mengena boleh nak jadikan ini isu,” katanya.
Tambahnya, lebih baik sekiranya keutamaan diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan masuk yang sempit ke sekolah.
Sekolah itu semalam mendapat dukungan Jemaah Menteri apabila Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai lawatan beberapa orang menteri dan exco kerajaan Selangor.
Menurut Wan Azizah, tiada salahnya untuk sekolah itu memasang hiasan dan tanglung untuk sambutan Tahun Baru Cina. – 9 Januari, 2020.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan