Kempen Tahun Melawat Malaysia mula 3 tahun lepas, kata kementerian


Diyana Ibrahim

Dakwaan kononnya promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 hambar adalah persepsi yang salah, kata Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2020.

KEMPEN Tahun Melawat Malaysia 2020 sebenarnya telah bermula tiga tahun lepas dengan promosinya dilakukan di luar negara, kata Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Musa Yusof.

Beliau berkata dakwaan kononnya promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 hambar adalah persepsi yang salah.

“Pertamanya, salah persepsi itu. Kita dah lancar pra pelancaran pada November 2017 di London kerana tempoh tempahan bagi industri pelancongan di London kena setahun awal.

“Kemudian bulan Januari 2018 kita lancar sekali lagi di Asian Tourism Forum di Thailand dan sekali lagi pada hujung tahun 2018… jadi sebenarnya tiga tahun kita buat promosi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Malaysia mensasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion tahun depan.

Bagaimanapun pemain industri menjangkakan Malaysia mungkin sukar mencapai sasaran 30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal bermula pada bulan depan, kata pemain industri, kerana kempen promosinya yang hambar.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kamaruddin Bahrin berkata promosi kempen untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 dibuat pada saat terakhir.

Jelas Musa, biarpun pihaknya turut berdepan dengan cabaran kekurangan peruntukan ditambah dengan keadaan kewangan negara tidak menentu namun ia dapat diatasi dengan kerjasama pihak swasta.

Tambahnya kementerian juga menukar strategi menjurus pada pihak industri pelancongan luar negara.

“Kita banyak mendekati dan buat kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Etihad, Qatar Air dan Korean Air.

“Ini salah satu cara kita memperkasakan aksesbiliti untuk datang ke negara ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Noor Zari Hamat mengharap konflik Iran- Amerika tidak akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan.

Beliau berkata ketika ini kementerianya sedang memantau rapat perkembangan konflik yang sedang dialami okeh kedua-dua negara berkenaan. 

“Kita akan pantau sama ada ada kesan atau tidak. Impaknya sekarang belum dilihat, buat masa ini kita akan pantau dekat hujung bulan depan mungkin kita tengok. 

“Kita sama berdoa agar perkara itu tidak menjejaskan industri pelancongan negara,” katanya. – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen