Kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 hambar, kata industri


Diyana Ibrahim

Malaysia mensasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion tahun depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 9 Disember, 2019.

MALAYSIA mungkin sukar mencapai sasaran 30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal bermula pada bulan depan, kata pemain industri, kerana kempen promosinya yang hambar.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kamaruddin Bahrin berkata promosi kempen untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 dibuat pada saat terakhir.

“Memang susah kita nak dapat capai sasaran 30 juta pelancong, sebab kita nampak promosi yang kurang menonjol, kempen pun lambat bermula dan ia sangat hambar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru saja mengeluarkan Kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020 walhal ia sepatutnya dibuat lebih awal.

“Bila keluarkan lambat jadi sukar bagi pemain industri seperti kami untuk buat promosi, kerana pelancong biasanya mereka akan rancang percutian lebih awal,” katanya.

Malaysia mensasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion tahun depan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata jumlah pelancong asing ke negara ini pada 2018 adalah 25,832,354 orang berbanding 25,948,459 pada 2017.

Jumlah itu turun 116,105 orang atau 0.4% pada 2018 berbanding 2017.

Mohamaddin bagaimanapun berkata pada suku pertama tahun ini sektor pelancongan Malaysia meningkat 16.9% dengan jumlah perbelanjaan pelancong sebanyak RM21.4 bilion berbanding RM18.3 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Tahun Melawat Malaysia pertama kali dilancarkan pada 1990 dan dianjurkan kali terakhir pada 2014.

Tahun Melawat Malaysia 2014 bagaimanapun tidak berjaya mengulangi kejayaan program seperti sebelumnya apabila gagal mencapai sasaran 28 juta pelancong.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata jumlah pelancong asing ke negara ini pada 2018 adalah 25,832,354 orang berbanding 25,948,459 pada 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.

Menteri pelancongan ketika itu Nazri Aziz mengakui kegagalan program tersebut namun berpendapat ia terjejas akibat tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Mac 2014.

Nazri turut menyalahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana masih mengenakan pembayaran visa kepada pelancong China yang menyebabkan Malaysia gagal menarik 600,000 pelancong dari negara itu.

Industri pelancongan merudum

Seorang operator pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Chua juga berkata beliau tidak nampak usaha ketara kerajaan untuk memperhebatkan promosi bagi menyaingi destinasi serantau seperti Thailand dan Indonesia.

“Kalau nak ikutkan Malaysia ini dulu antara destinasi paling popular dalam kalangan pelancong namun sekarang kita kalah. Indonesia pun mendahului kita.

“Di Thailand, promosi dibuat setahun lebih awal. Kempen dan pengiklanan mereka sangat hebat dan kita kalau baru nak mulakan sekarang atau tahun depan bagi saya sukarlah,” katanya.

Chua juga menyebut cukai pelancongan dan cukai pelepasan antara satu lagi faktor yang akan menyebabkan Malaysia kurang popular dalam kalangan pelancong.

Kerajaan mula mengutip cukai pelepasan pada 1 September lalu walaupun ada gesaan daripada Persatuan Agen Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (Matta) agar ia ditangguhkan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020.

Penumpang yang meninggalkan Malaysia melalui udara ke negara Asean dikenakan bayaran RM8 bagi penerbangan kelas ekonomi dan RM50 bagi kelas lain. Penumpang penerbangan ke destinasi luar Asean pula dikenakan cukai RM20 bagi kelas ekonomi dan RM150 bagi kelas lain.

Selain itu, penumpang juga dikenakan bayaran perkhidmatan yang berbeza mengikut penerbangan ke Asean dan destinasi lain.

Kerajaan mula mengutip cukai pelepasan pada 1 September lalu walaupun ada gesaan daripada Matta agar ia ditangguhkan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2019.

Gerak inisiatif sendiri

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata kerajaan boleh melakukan lebih banyak promosi dengan membabitkan pihak industri.

“Semua kena bersatu hati. Kita patut fokus pada matlamat kita tumpukan pada pemasaran dengan penglibatan semua pihak. Pemain industri, kerajaan termasuk pihak swasta perlulah lebih menyokong,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya telah mengambil inisiatif sendiri menghasilkan video kempen mempromosikan Malaysia.

“Awal tahun lagi kita dah buat video ala-ala ‘discover Malaysia’.

“Kita buat promosi untuk negara sendiri. Video ini kita mainkan di hotel supaya pelancong boleh lihat,” katanya.

Peruntukan tidak cukup

The Malaysian Insight difahamkan kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 hambar dan lambat berjalan kerana kekurangan peruntukan.

Sumber memberitahu walaupun Belanjawawan 2020 menyediakan peruntukan RM1.1 bilion, ia masih belum disalurkan kepada kementerian.

“Kementerian hanya menerima bajet pada tahun depan dan peruntukan kementerian untuk tahun ini pun tidak dapat penuh,” kata sumber di Putrajaya.

Sumber juga menjelaskan pihak kementerian sudah melakukan sebaik mungkin untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 walaupun berdepan banyak kekangan.

Selain masalah promosi yang hambar dan lambat, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 bermula dengan langkah kiri apabila logonya yang dilancarkan pada Januari tahun lalu dikritik hebat.

Logo itu kemudian ditukar selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan. 

Namun logo baharu itu juga dikecam kerana dikatakan tidak asli, selain slogannya yang mengelirukan. – 9 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen