Bekas PM Croatia menang pusingan kedua pilihan raya presiden 


Calon Parti Demokratik Sosial Zoran Milanovic memenangi pusingan kedua pilihan raya presiden Croatia pada Ahad.– Gambar EPA, 6 Januari, 2020.

CALON Parti Demokratik Sosial Zoran Milanovic memenangi pusingan kedua pilihan raya presiden Croatia pada Ahad, menewaskan penyandang daripada parti konservatif iaitu Presiden Kolinda Grabar-Kitarovic, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Selamat datang ke istana kemenangan. Politik adalah usaha keras yang berpaksikan cinta dan kesabaran,” kata Milanovic.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat sama ada yang menyokong atau sebaliknya pencalonan beliau, ketika berucap di bangunan parti itu di ibu kota Zagreb.

“Setiap orang mempunyai pendapat berbeza. Dalam konteks ini, saya akan cuba menjadi suara semua orang tanpa menyakiti sesiapa. Saya akan menghormati perbezaan ini,” kata Milanovic.

Menurut keputusan tidak rasmi yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya Negara (DIP), hampir semua undi telah dikira.

Berdasarkan data, Milanovic telah muncul sebagai presiden Croatia seterusnya dengan memenangi sejumlah 52.7 peratus undi.

Grabar-Kitarovic pula meraih 47.3 peratus undi.

Jumlah rakyat yang keluar mengundi ialah kira-kira 55 peratus.

Penyokong Milanovic meraikan kemenangan itu di jalan-jalan di Zagreb.

Milanovic dilahirkan di Zagreb pada 1966. Beliau berkhidmat di Mahkamah Komersial Zagreb selama beberapa tahun selepas menamatkan pengajiannya di Fakulti Undang-Undang Universiti Zagreb.

Pada 1993, Milanovic menyertai Kementerian Luar di mana beliau berkhidmat untuk misi negaranya di Organisasi bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Kesatuan Eropah dan Nato.

Dipilih sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial pada 2008, beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri dari 2011 hingga 2016 selepas pakatan parti itu memenangi pilihan raya umum pada 2011. – Bernama, 6 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen