POLIS sudah menerima laporan pakar di Amerika Syarikat mengenai rakaman video hubungan intim dua lelaki yang didakwa dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed mengesahkan laporan analisis pakar itu diterima hujung bulan lalu.
Laporan itu bersama kertas siasatan kes sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan akan dibincangkan petang ini, katanya.
“Polis bersama Pejabat Peguam Negara akan membuat kenyataan media bersama dalam masa terdekat.
“Tetapi, saya tidak berjanji untuk mendedahkan hasil laporan itu kepada umum seperti yang dilaporkan sesetengah media sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman, petang ini.
Pada hujung November lalu, Huzir berkata kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara tetapi dipulang balik “tujuh lapan kali”.
Katanya, pihak Pejabat Peguam Negara meminta pihak polis mendapatkan pandangan kedua berkenaan analisis rakaman video itu daripada sebuah badan bebas.
Pada Jun 2018, bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan mendakwa Azmin adalah pasangannya.
Azmin menafikan tuduhan itu yang dipertegaskannya berkali-kali sebagai fitnah jahat bermotifkan politik untuk menghancurkan masa depannya.
Sebulan selepas penyebaran rakaman itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan polis mendapat rakaman video itu hampir pasti tulen tetapi sukar untuk dikaitkan dengan mana-mana individu seperti didakwa.
Beliau membuat kenyataan itu berdasarkan maklumat siasatan CyberSecurity Malaysia.
Awal September lalu, beberapa badan masyarakat merayu Yang Di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu siasatan rakaman video seks itu.
Mereka menyerahkan memorandum dan laporan analisis forensik sebuah badan di United Kingdom ke Istana Negara.
Laporan itu diperolehi oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno. – 6 Januari, 2020.
Komen