Salahuddin beri amaran, tindakan tegas pegawai ingkar


Sheridan Mahavera

Salahuddin 2019 sudah tak ada. Sekarang Salahuddin 2020, kata menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Januari, 2020.

SALAHUDDIN Ayob memberi amaran akan bertindak tegas terhadap pegawai dan kakitangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ingkar arahan serta memalsukan dokumen, sehingga menjejaskan operasi dan urusan kementerian.

Berucap pada pertemuan bulanan kementerian hari ini, Salahuddin menegaskan beliau tidak akan beri muka lagi kepada mereka.

“Salahuddin 2019 sudah tak ada. Sekarang Salahuddin 2020,” katanya.

Salahuddin yang dikenali ramai dengan imej pemimpin lemah lembut, berulang kali meninggikan suaranya pada himpunan pegawai kementerian yang hadir mendengar ucapan Tahun Baharunya, pagi tadi.

Menteri itu yang pernah menjadi pekebun dan nelayan ketika zaman mudanya, turut mengecam kelakuan sesetengah pegawai yang melambat-lambatkan pengedaran subsidi pertanian seperti baja dan racun perosak.

Pegawai yang tidak bersimpati dengan nasib orang miskin di Malaysia dan memperlekeh program kementerian turut diberi amaran supaya mengubah sikap mereka.

Selain itu, Salahuddin juga memberitahu beliau akan mengurangkan kehadiran di majlis pelancaran rasmi tahun ini.

“Saya sudah beritahu pembantu saya. Saya tak mahu berada di atas pentas terlalu banyak untuk lancar itu ini atau beri cek besar. Ini boleh dibuat oleh ketua setiausaha atau timbalannya.

“Saya akan habiskan lebih banyak masa turun padang dan berjumpa petani, nelayan dan peniaga untuk melihat sama ada dasar kita dilaksanakan dan mendapat maklumat tentangnya hasilnya daripada mereka.”

Menurut Salahuddin lagi, tumpuan utama kementerian tahun ini adalah untuk meningkatkan sumbangan pertanian kepada ekonomi negara dan mengurangkan import serta menurunkan harga barangan mentah.

Ia juga mahu memastikan sektor itu menawarkan pekerjaan bergaji menarik untuk belia dan membantu penduduk pedalaman terutama daripada isi rumah B40 menambah pendapatan mereka.

Program yang bertujuan mencapai semua matlamat ini sudah bermula sejak 2019 dan akan diperhebat lagi tahun ini, katanya lagi.

“Anda mungkin tak pandang periuk kuali yang kita beri kepada keluarga miskin,” katanya, merujuk kepada program “Rezeki Tani” anjuran kementerian.

“Atau anda mungkin fikir bagaimana ia boleh bawa perubahan kepada kehidupan sekeluarga? Anda mungkin perlekeh perkara ini tetapi untuk orang yang kita bantu, peralatan ini membantu mereka beri makan anak-anak dengan duit yang mereka dapat.

Program Rezeki Tani adalah skim menyediakan peralatan kepada B40 untuk memulakan perniagaan menjual makanan kecil-kecilan. – 6 Januari, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen