MANA-mana bekas pemimpin Umno tidak seharusnya dilantik menganggotai Kabinet kerana keutamaan harus diberikan kepada pemimpin sedia ada daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR diminta mengulas ura-ura bekas pemimpin Umno akan dilantik menjadi menteri pendidikan menggantikan Maszlee Malik yang letak jawatan minggu lalu.
“Ini kerajaan Pakatan Harapan, dalam Pakatan Harapan, semangat Pakatan Harapan, manifesto Pakatan Harapan, itu lebih utama,” kata Anwar kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Selangor di Serdang, hari ini.
Anwar bagaimanapun berkata keputusan melantik pengganti Maszlee adalah budi bicara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan menegaskan dirinya tidak tersenarai untuk mengisi jawatan tersebut.
“Secara konvensyennya adalah menjadi kuasa budi bicara perdana menteri untuk isi kekosongan tapi ini terserah kepada beliau dan pimpinan PH kalau nak adakan perbincangan,” kata Anwar, lagi.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berharap PH akan membincangkan pengganti Maszlee, namun mengingatkan pilihan anggota kabinet adalah kuasa mutlak perdana menteri.
Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin bagaimanapun dalam satu kenyataan berkata tiada sebarang keperluan untuk perdana menteri berbincang hal itu, melainkan jika beliau sendiri mahu berbuat begitu.
Sementara itu, Anwar juga menasihati menteri Kabinet yang dilaporkan lemah agar memperbaiki prestasi mereka.
“Semua pemimpin yang prestasi mereka lemah kena perbaiki tetapi kebiasannya keputusan (lantik menteri) itu diletak di bawah kuasa perdana menteri, dan saya tidak termasuk dalam senarai,” katanya.
Mengenai Maszlee, Anwar merakamkan penghargaan kepada bekas menteri itu atas beberapa pembaharuan yang dilaksanakan.
“Maszlee dah buat beberapa pembaharuan menumpu pada soal mutu pendidikan, walaupun ini tak banyak dibincangkan, yang dbincangkan masalah-masalah yang lebih kontroversial.
“Saya turut menyatakan penghargaan dan ucap selamat maju jaya kepada beliau dalam kerjaya politik berikutnya,” kata Anwar.
Tambahnya, Maszlee masih mempunyai masa depan yang cerah dalam politik walaupun tidak lagi menjadi anggota Kabinet.
“Maszlee masih muda tentu ada harapan, ramai juga yang berhenti dan patah balik (berpolitik), perdana menteri dan saya sendiri,” kata Anwar. – 5 Januari, 2020.
Komen