Bersatu tolak hasrat DAP bincang pengganti Maszlee


Mohd Radzi Md Jidin berkata PH tidak perlu membincangkan nama menteri bagi jawatan tersebut, yang sebelum ini disandang Maszlee Malik dari Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

BERSATU menolak hasrat DAP untuk membincangkan pelantikan menteri pendidikan baharu dalam mesyuaat Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin menegaskan hanya perdana menteri berhak melantik menteri dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Maka PH juga tidak perlu membincangkan nama menteri bagi jawatan tersebut, yang sebelum ini disandang Maszlee Malik dari Bersatu, katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk bidang kuasa perdana menteri berhubung pelantikan menteri mengikut Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara perdana menteri untuk menasihati yang dipertuan agong tentang pelantikan seorang menteri.

“Ini juga bermakna, bukanlah menjadi keperluan untuk perdana menteri membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian,” katanya.

Kenyataan itu mengulas saranan daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu pengganti Maszlee dibincangkan dalam mesyuarat PH.

“Saya rasa kita bincang bersama PH. Saya ada pandangan peribadi tapi biar bincang dalam mesyuarat PH,” kata Lim di Pulau Pinang hari ini.

Maszlee meletak jawatan berkuatkuasa semalam dengan mengaitkan tiga isu – projek Internet sekolah, sarapan percuma dan pengenalan Jawi. – 4 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen