Tuduhan pindah tentera ke Johor demi PRU14 tidak masuk akal, kata Hishammuddin


Diyana Ibrahim

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menegaskan tidak mungkin kerajaan bertindak memindahkan anggota tentera ke kem yang belum siap sepenuhnya kerana ia hanya akan merisikokan parti pemerintah pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 November, 2017.

MENTERI Pertahanan, Hishamuddin Hussein menepis dakwaan ahli Parlimen pembangkang mengenai pemindahan tentera di kem Segamat, Johor sebagai agenda politik Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hishammuddin berkata, tuduhan itu tidak masuk akal kerana tidak mungkin kementerian bertindak demikian memandangkan kem berkenaan belum siap sepenuhnya dan hanya akan merisikokan BN.

“Orang yang waras tidak akan pergi ke tempat yang tidak sesuai untuk tinggal.

“Dan sangat gila untuk memindahkan askar tanpa menyediakan rumah untuk mereka. Ia hanya akan menyebabkan mereka tidak akan mengundi kita (BN). Jadi secara logiknya ia langsung tidak masuk akal,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Bangunan Memorial Tun Hussien Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong membangkitkan isu perpindahan anggota tentera di sebuah kem yang masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 16 April 2018.

Beliau membangkitkannya berdasarkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2017 yang sedang dipamerkan.

Ia menunjukkan pendaftaran seramai 1,079 anggota tentera atau pasangan mereka di dua lokaliti baru di kawasan Parlimen P140 Segamat dan N02 Jementah.

Antaranya 1,051 pemilih di Kem Segamat, dan 28 pemilih di Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Segamat.

Mengulas lanjut mengenai isu pemindahan tersebut, naib presiden Umno itu menyerahkan persoalan tersebut dijawab ketua tentera.

“Mereka tidak akan memindahkan tentera jika tidak cukup kemudahan. Tapi kalau saya jawab ia akan jadi isu politik.

“Jadi saya serahkan pada panglima angkatan tentera sebagai pengguna kem tersebut.”

Tahun lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan beberapa pensempadanan semula di beberapa kawasan Parlimen termasuk Johor.

Johor merupakan kubu kuat BN dan Umno namun ia bakal berdepan persaingan sengit dengan kehadiran Pakatan Harapan terutama pengaruh daripada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin.

Liew yang juga pengerusi  DAP Johor sebelum ini berkata, BN hanya menang tipis dengan kurang 55% undi di 60 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka dalam PRU 2013.

Justeru, beliau menjangkakan terdapat 11 kerusi Parlimen di Johor mampu ditawan PH.

Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri. – 1 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen