Malaysia yang terlepas daripada genggaman


The Malaysian Insight

MACAM mana kita boleh sampai ke tahap ini, apabila rakyat Malaysia boleh diugut hanya kerana berfikir?

Menteri Gobind Singh Deo semalam mendedahkan ada ancaman serius di ruang maya terhadap badan pendidikan Cina Dong Jiao Zong dan polis sudah dimaklumkan mengenainya.

Polis minggu lalu mendapatkan perintah mahkamah menyekat kumpulan itu meneruskan perbincangan mengenai langkah Putrajaya memperkenalkan pembelajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan. Alasannya, langkah keselamatan kerana isu tersebut sudah jadi perkauman.

Sebagai perbandingan, perintah mahkamah pernah dikeluarkan atas alasan sama terhadap perhimpunan Bersih semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Ini isunya. Tanah air yang dinamakan Malaysia ini hanya layak diperjuang dan dipertahankan jika semua institusi utamanya buta warna dan tegak atas prinsip kesaksamaan dan keadilan.

Jika tidak, rasa marah dan kecewa akan merobek negara ini dan masyarakatnya.

Kebebasan yang disemai di bawah Pakatan Harapan harus dipupuk. Rakyat harus boleh berfikir, berhimpun dan berbincang isu-isu yang relevan bagi mereka tanpa diancam akan dicederakan.

Sebaliknya, beberapa diskusi dihentikan, sesetengahnya disekat sementara ada juga yang dibenarkan. Pihak berkuasa membantu menjadikan isu ini ternampak perkauman—seterusnya mengikis lagi kepercayaan umum terhadap ahli politik dan institusi.

Soalan yang perlu kita tanya ialah sejak bila rakyat Malaysia jadi tidak boleh bertolak ansur dengan orang lain?

Sejak bila Jawi atau isu pendidikan dilihat dari lensa perkauman? Bukankah ada isu pendidikan lain yang lebih mendesak daripada soal bahasa, huruf dan tulisan?

Ketika kita terus bergelut dengan hal ini, dunia mara dengan sains dan teknologi, pengkodan untuk murid dan inovasi yang memimpin mereka dalam abad ke-21. 

Malaysia sebaliknya terjebak dalam perbahasan tentang bahasa dan kebimbangan ia akan menyebabkan rakyatnya tukar agama atau diketepikan daripada bahasa utama negara.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya wajar bimbang dengan apa yang sedang jadi pada Malaysia. Bangsa Malaysia tidak ada ketika kita melangkah masuk ke 2020.

Apa yang sedang terjadi jauh lebih menakutkan. Kita terpisah dalam ruang masing-masing – kaum, agama dan kelas. Kita menjadi antitesis kepada moto pada jata negara, Bersekutu Bertambah Mutu.

Hakikatnya, pada 2020 Malaysia terlepas daripada genggaman kita. – 31 Disember, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen