Ancaman serius dibuat terhadap Dong Jiao Zong, kata Gobind


Perlembagaan Malaysia melindungi hak untuk berhimpun dan kebebasan berhimpun, dan mereka yang mengancam pihak lain berhubung hak ini perlu diambil tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

KUMPULAN pendidikan Cina Dong Jiao Zong berdepan ancaman serius dan polis kini menjalankan siasatan mengenainya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini.

Menurutnya, perkara itu disahkan susulan pemeriksaan yang dibuat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Dalam kes Dong Zong, ancaman serius telah dibuat terhadap mereka.

“Saya telah membuat pemeriksaan dengan MCMC dan boleh sahkan bahawa mereka telah menghantar butiran yang perlu berhubung kes ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan MCMC sedia membantu polis dalam apa jua cara sekiranya perlu,” kata Gobind dalam kenyataan di akaun Facebooknya.

Beliau berkata, perlembagaan Malaysia melindungi hak untuk berhimpun dan kebebasan berhimpun, dan mereka yang mengancam pihak lain berhubung hak ini perlu diambil tindakan.

“Pada pandangan saya, tindakan perlu diambil terhadap mereka dalam kes ini. Justeru saya berharap pihak polis dan peguam negara akan mengambil tindakan dalam perkara ini secepat mungkin,” tambahnya.

Kenyataan Gobind turut disertalan laporan berita berhubung kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa langkah polis menghentikan kongres, serta kegagalan untuk bertindak terhadap pihak yang mengancam Dong Jiao Zong, akan memburukkan lagi situasi.

Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong menganjurkan sebuah kongres Sabtu lalu di Koleh New Era bagi membincangkan isu pengenalan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Kongres berkenaan juga bertujuan untuk menyatakan pendirian kumpulan berkenaan berhubung rancangan Kementerian Pendidikan.

Ia bagaimanapun dihentikan selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang program itu diteruskan. – 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen