Lelaki juga terpedaya dengan 'love scam', kata TPM


SM Amin

Setiap golongan masyarakat perlu dididik dengan kefahaman mengenai kewangan untuk mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan 'love scam', kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Disember, 2019.

BUKAN wanita sahaja yang menjadi mangsa sindiket penipuan ‘love scam’ di Internet kerana golongan lelaki juga tidak terkecuali, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Oleh itu setiap golongan masyarakat perlu dididik dengan kefahaman mengenai kewangan untuk mengelak menjadi mangsa sindiket itu, katanya.

Katanya, golongan yang mudah terpedaya dengan sindiket ini adalah individu yang kesunyian dan keseorangan.

“Sebahagian besar yang terkena penipuan internet, love scam ialah wanita. Wanita yang berasa keseorangan, bersendirian.

“Lelaki juga ada ditipu tetapi mereka tidak buat laporan,” katanya ketika merasmikan Festival Putrajaya Lift (Literacy in Financial Technology) 2019 di Menara Perkeso, Putrajaya hari ini.

Justeru itu, beliau mahu pengguna di semua peringkat dari murid sekolah sehingga mereka yang sudah bersara dididik dengan pengetahuan literasi kewangan.

Jelasnya, mereka perlu didedahkan dengan risiko-risiko yang berkaitan dengan penggunaan teknologi kewangan (fintech).

“Literasi dan kemahiran kewangan amat penting kerana ia mampu bertindak sebagai pertahanan pertama atau “first line of defence” kepada pengguna daripada amalan pasaran yang tidak adil.

“Pengguna perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengamalkan kebersihan siber yang baik atau ‘good cyber-hygiene’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa ruang siber,” katanya

Tambah beliau, kerajaan juga akan memperkenalkan polisi serta undang-undang yang mengambil kira aspek perkhidmatan kewangan melalui teknologi yang sedia ada.

Polisi serta perlindungan ke atas pelanggan dan peserta industri ini akan diperkenal pada masa akan datang, katanya.

Sebanyak 3,533 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM186 juta direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, menurut Kementerian Dalam Negeri dalam satu jawapan di Dewan Rakyat. – 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen