PROGRAM makanan percuma di sekolah yang bermula pada akhir Januari ini akan menelan belanja RM22 juta bagi pelaksanaan peringkat fasa pertama, kata Kementerian Pendidikan.
Kementerian dalam satu kenyataan mengumumkan program sarapan percuma (PSP) akan bermula pada 20 Januari di 100 buah sekolah di seluruh negara.
Kenyataan Kementerian Pendidikan itu mengesahkan laporan awal The Malaysian Insight hari ini mengenai pelaksanaan fasa pertama program itu, sebelum diperluaskan ke lebih 7,000 buah sekolah.
“Pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus,” kata kenyataan itu.
Kementerian Pendidikan juga mengesahkan 100 sekolah pilihan itu dipilih berdasarkan kriteria mempunyai peratusan paling tinggi bilangan murid dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).
Sekolah berkenaan terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, serta melibatkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.
Kementerian juga memaklumkan pelaksanaan program sarapan itu mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan, yang menyediakan seorang pegawai sains pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah mengenai menu.
“Bagaimanapun, kebenaran daripada ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan,” kata kementerian.
Program sarapan percuma adalah usaha Kementerian Pendidikan menyediakan makanan berkhasiat yang seimbang kepada murid bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir dari segi tumbesaran.
Program ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Ogos lalu, kira-kira empat bulan selepas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat mengenainya di Putrajaya. – 27 Disember, 2019.
Komen