Sarapan percuma di 100 sekolah akhir Januari, kata sumber


Kementerian Pendidikan dijangka akan buat pengumuman rasmi mengenai program sarapan percuma sebelum sesi persekolahan bermula Khamis ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2019.

PROGRAM sarapan percuma di sekolah akan dimulakan di 100 buah sekolah terpilih di semua negeri menjelang akhir bulan depan, sebelum fasa pertama pelaksanaannya diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan 100 buah sekolah untuk fasa pertama dipilih berdasarkan kriteria mempunyai peratusan paling tinggi bilangan murid dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) di setiap negeri.

Sumber memberitahu sekolah berkenaan terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman, serta melibatkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

“Program ini akan dimulakan sebelum akhir Januari,” kata sumber yang maklum mengenai program itu kepada The Malaysian Insight.

Kementerian Pendidikan dijangka akan mengumumkan perincian pelaksanaan program dalam masa terdekat, sebelum sesi persekolahan bermula minggu depan.

Sumber yang tidak mahu dinamakan bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga pengumuman rasmi oleh pihak kementerian.

The Malaysian Insight difahamkan selepas pelaksanaan fasa pertama di 100 buah sekolah, program sarapan percuma kemudiannya akan dilanjutkan ke semua lebih 7,000 sekolah rendah dan melibatkan kumpulan sasaran 2.7 juta murid.

Ia akan bergantung pada peruntukan yang diterima oleh kementerian serta kesediaan pihak pengendali kantin.

Program sarapan percuma adalah usaha Kementerian Pendidikan menyediakan makanan berkhasiat yang seimbang kepada murid bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir dari segi tumbesaran.

Program ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Ogos lalu, kira-kira empat bulan selepas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat mengenainya di Putrajaya.

Dalam pengumumannya ketika itu, Maszlee berkata program sarapan percuma akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada, iaitu disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

Makanan percuma itu akan diedarkan kepada murid sebelum 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi, dan sebelum 4 petang bagi sekolah sesi petang.

Antara Ogos dan November lalu, Kementerian Pendidikan menjalankan projek rintis di enam buah sekolah di sekitar Lembah Klang. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen